Rayu atau tidak, Pas buat keputusan hari ini

Rayu atau tidak, Pas buat keputusan hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING: Pas akan umum sama ada membuat rayuan atau tidak hari ini berhubung keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid, di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Hari ini merupakan tarikh terakhir diberi mahkamah untuk menangguh pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersabit keputusan mahkamah sementara menunggu tindakan atau rayuan daripada responden.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketika ini, Pas belum memutuskan jika mahu merayu kerana masih belum meneliti perakuan dan alasan-alasan yang akan diberi kepada SPR berdasarkan Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Hakim masih belum memaklumkan keputusan kepada SPR lagi. Hakim perlu membuat laporan dahulu kepada SPR.

“Jadi, untuk berlaku adil, kami akan teliti dahulu laporannya baru putuskan sama ada merayu atau tidak,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 27 September lalu, media melaporkan, Pas akan meneliti perakuan hakim terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada akan membuat rayuan atau sebaliknya. Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Bagaimanapun, mahkamah bersetuju menangguhkan pemakluman kepada SPR bersabit keputusan mahkamah pada tersebut sehingga hari ini sementara menunggu tindakan atau rayuan daripada pihak responden.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Mahkamah turut memerintahkan pihak responden membayar kos sebanyak RM30,000 kepada pihak pempestiyen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×