Sindiket minta RM120,000 untuk dilepas pulang ke Malaysia

Sindiket minta RM120,000 untuk dilepas pulang ke Malaysia

SCAMMER sasar golongan berpendapatan tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Niat seorang peniaga di Pasar Borong Sela­yang di sini untuk mengubah kehidupan dengan menerima tawaran bekerja di Thailand berakhir dengan kesengsaraan apabila ‘ditawan’ sindiket scammer di Myanmar.

Mangsa yang dikenali sebagai Ben, 29, kini perlu menunggu ke­luarganya membayar ‘wang tebusan’ sebanyak RM120,000 untuk pulang semula ke Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kakak mangsa yang mahu dikenali sebagai Sandy, 38, berkata, adiknya memaklumkan menerima tawaran kerja di Thailand melalui Facebook sebelum berlepas ke negara jiran, tahun lalu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu bertindak sedemikian kerana tawaran gaji yang lumayan bagi mengubah nasib dirinya untuk membesarkan anaknya selepas bercerai dengan isteri pada 2021.

“Sehari selepas tiba di Bangkok, dia (Ben) menghubungi ibu saya memaklumkan dia dibawa ‘ejen’ ke Myanmar dan ke sebuah penempatan.

“Dia dipaksa bekerja sebagai scammer untuk memperdaya mangsa-mangsa di Asia Tenggara untuk sindiket penipuan.

“Malah, dia turut dibelasah oleh sindiket jika prestasi kerja tidak memuaskan selain pasport dipegang sindiket,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Cerita kakak mangsa itu lagi, mereka berkomunikasi melalui WhatsApp secara sorok-sorok ketika Ben bekerja kerana telefon bimbitnya dipegang sindiket berkenaan.

“Kali terakhir ibu menghantar WhatsApp kepada Ben adalah pada minggu lalu dan Ben meminta kami memasukkan wang RM120,000 kerana dia mahu pulang ke Malaysia.

“Itu antara syarat dikenakan sindiket untuk melepaskan Ben. Sejak itu, dia gagal dihubungi,”ujarnya.

Justeru, Sandy serta ke­luarganya merayu pihak berkuasa dengan kerjasama pihak kedutaan menyelamatkan mangsa sindiket terbabit yang masih berada di sana.

“Kita juga telah membuat laporan polis di Kepong berhubung kes ini,” katanya.

Pada 28 September lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, kira-kira 1,000 rakyat Malaysia dikesan dijadikan tawanan dan hamba oleh sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa yang beroperasi di Myanmar.

Mereka dipaksa bekerja sebagai ‘operator panggilan’ untuk melakukan penipuan atau scam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×