BALING: Penduduk Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang, di sini sudah lali dengan banjir yang melanda kawasan mereka, namun menyifatkan bencana kali ini antara yang paling buruk selepas tragedi 4 Julai tahun lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin, rumah penduduk terutama yang terletak berhampiran Sungai Kupang dimasuki air menyebabkan pelbagai barangan dan perabot rosak.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kenderaan milik penduduk juga tidak sempat diselamatkan sehingga ada yang tenggelam disebabkan banjir itu.
Malah seramai 383 mangsa daripada 124 keluarga yang tinggal di kampung berkenaan terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai serta SK Kampung Keda.
Seorang penduduk, Telka Md. Udin, 49, berkata, kejadian banjir kali ini berbeza dengan kejadian banjir puing dan kepala air pada 4 Julai tahun lalu.
“Air melimpah dengan laju memasuki rumah menyebabkan saya tidak sempat mengangkat barangan rumah.
“Ketika itu saya baru lepas solat Maghrib dan ada bersama seorang anak, Mohamad Amir, 14, dan kami bergegas meninggalkan rumah kerana takut terperangkap,” katanya.

Seorang penduduk Kampung Padang Empang, Abdul Wahab Samah, 72, pula berkata, hujan lebat yang bermula sejak pukul 4 petang kelmarin menyebabkan dia tidak senang duduk.
“Ketika pukul 6 petang, air mula melimpah memenuhi kawasan pekarangan rumah kami sebelum limpahannya memasuki dalam rumah kira-kira dua jam kemudian.
“Limpahan air terlalu deras yang turut membawa pasir dan tanah sehingga mengakibatkan rumah kami dimasuki air setinggi paras pinggang,” katanya.
Menurut bapa kepada enam anak itu, ketika kejadian dia tinggal bersama isteri, Che Munah Abu Bakar, 62, dan hampir terperangkap di dalam rumah mereka sebelum diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling menggunakan bot.
Bagi Fatimah Wahab, 80, dari Kampung Padang Empang berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa ketika air mula memasuki rumahnya pada pukul 8.30 malam kelmarin.
“Ketika itu hujan lebat berterusan sejak pukul 4 petang dan air mula memasuki rumah empat jam kemudian menyebabkan saya segera meninggalkan rumah untuk menyelamatkan diri.
“Banyak barangan rumah rosak termasuk dua buah motosikal yang ditenggelami air dalam kejadian malam tadi,” katanya.
Dalam pada itu, tiga jambatan yang menghubungkan penduduk di Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di jajaran Sungai Kupang roboh serta rosak akibat banjir.
Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu turut menyebabkan Jambatan Bailey di Lata Chelak Kampung Iboi yang dipasang selepas kepala air dan banjir puing tahun lalu, terpaksa ditutup akibat hakisan dan tidak selamat digunakan.
Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, jambatan berkenaan terpaksa ditutup sejak pukul 11 malam kepada kenderaan berat termasuk kereta selepas arus deras menyebabkan hakisan di tebing sungai berlaku.
“Keputusan menutupnya dibuat selepas perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Baling serta polis demi keselamatan orang ramai.
“Saya harap penduduk dapat mengikut arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa kerana kita bimbang kejadian ini berterusan hingga menyebabkan kesan lebih teruk kepada penduduk.
“Pada masa sama kita berharap kerajaan segera membina semula jambatan yang rosak selain mempercepat pembinaan empangan sabo dan projek tebatan banjir di sini bagi mengelak penduduk terus terjejas dengan kejadian banjir ini,” katanya.
Nor Mohamad berkata, dia menerima panggilan daripada penduduk selepas solat Maghrib yang memaklumkan rumah mereka sudah dinaiki air dan pada masa sama bekalan elektrik terputus menyebabkan keadaan menjadi huru-hara.
Menurutnya, dia segera menghubungi semua agensi terlibat seperti polis dan AngkatanPertahanan Awam (APM) untuk meminta bantuan.
Sementara itu, banjir kali ini turut menyebabkan sumber air masyarakat di kampung berkenaan terputus dan memerlukan bantuan segera untuk baik pulih berikutan ia menjejaskan kira-kira 500 buah rumah di tiga buah kampung berkenaan termasuk Kampung Bukit Iboi.
Nor Mohamad berkata, banyak paip utama air masyarakat di Kompartment 8 Gunung Inas rosak yang dijangka memerlukan kos lebih RM500,000.
“Sebelum ini kita sudah baiki paip di kawasan gunung itu dengan peruntukan daripada bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim kira-kira RM50,000.
“Namun hanya sebahagian paip yang dibaik pulih tapi kali ini lebih banyak paip yang rosak kerana dihanyutkan air dari gunung dan banyak paip tersumbat kerana dimasuki pasir serta tanah,” katanya.
Kejadian banjir puing pada 4 Julai tahun lalu menyebabkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas, 17 rumah musnah yang turut mengorbankan tiga nyawa, termasuk wanita hamil serta mengakibatkan kerugian berjumlah RM28 juta. – UTUSAN











