PUTRAJAYA: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan setiap rakyat supaya menjauhi perbuatan fitnah dan bercakap dusta kerana ia boleh menghancurkan negara.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, setiap rakyat mesti menerapkan akhlak mulia dengan menuturkan kebenaran, bersikap jujur, menjauhi fitnah, kata-kata dusta dan pembohongan.
Baginda mahu semua pihak mengambil iktibar daripada kejatuhan dan keruntuhan tamadun serta kuasa besar dunia akibat budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsanya.
Titah baginda, selepas kewafatan Rasulullah SAW, fitnah telah membawa kepada peristiwa tragis dalam sejarah Islam termasuk pembunuhan khalifah ketiga, Saidina Uthman bin Affan.
“Demikian hebat hakikat fitnah dan tipu daya yang bukan sahaja telah menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agong, malah turut menghancurkan keharmonian dan kestabilan sebuah negara.
“Kerana itu Allah SWT mengingatkan seluruh umat Islam untuk menghindari serta menjauhi orang-orang yang tidak bercakap benar,” titah baginda sempena sambutan Maulidul Rasul Peringkat Kebangsaan di sini semalam.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut hadir pada majlis berkenaan selain dua Timbalan Perdana Menteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Sejajar dengan sambutan memperingati hari kelahiran Rasulullah SAW, Al-Sultan Abdullah turut mengajak masyarakatbersama mencontohi akhlak warisan maknawi Rasulullah SAW yang amat bernilai dan istimewa.
Baginda bertitah, setiap baris-baris tutur kata Rasulullah SAW disulami dengan penuh kesantunan dan memancarkan keperibadian mulia serta hormat kepada teman bicara.
“Baginda tidak berbicara kecuali dalam hal yang bermanfaat dan tidak pernah menuturkan tipu daya, apatah lagi nista kepada pengikut mahupun penentangnya.
“Hakikatnya, perkataan yang kurang elok, sama ada ketika tutur bicara mahu pun ketika menulis di media sosial, kata-kata berbentuk cacian, nista dan dusta serta fitnah akan hanya menggugat kestabilan dan keharmonian negara tercinta,” titahnya.
Sambutan dengan tema ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ adalah merupakan manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan islam di negara ini.
Pada sambutan itu juga, seramai 6,000 orang terdiri daripada 131 kontinjen dari pelbagai kementerian, badan berkanun dan agensi swasta berarak sejauh 1.1 kilometer dari Jambatan Seri Gemilang, Putrajaya ke PICC diketuai Mohd. Na’im.
Penasihat syariah dan ekonomi, Prof. Datuk Dr. Syed Othman Syed Husin Al-Habshi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan kali ini.
Syed Othman, 80, anak kelahiran Peringgit, Melaka adalah dekan pertama Kuliyyah Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pernah menjawat Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif di UNITAR.
Turut diumumkan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul iaitu Pengasas dan Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Falak Syari’i Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Penerima lain termasuk Datu Misni Taha; orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Zamzuri Ghani; pakar veterinar, Datuk Dr. Mhd. Nordin Mohd. Nor dan bekas Pengarah Kolej Mara Kuala Nerang, Shaariah Dahman.
Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan anugerah kepada semua penerima dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai, medal, sijil penghargaan dan jongkong emas. – UTUSAN










