JOHOR BAHRU: Dua beradik bersama suami masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini semalam bagi tiga pertuduhan mengedar dadah di Ulu Tiram, di sini minggu lalu.
Tertuduh, Siti Nurfatimah Sottor, 32, dan suami, Mohammad Raffi Yahya, 35, serta Siti Nurshafina, 24, dan suami, Afiq Aidi, 23, mengangguk faham semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.
Pertuduhan Mohammad Raffi dibacakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kerana menghidap Covid-19 dan tibi.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mengedar kanabis lebih 27.53 kg, heroin (lebih 1.81kg) dan methamphetamine (lebih 1.94kg).
Dua pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali sebatan, jika disabit kesalahan.
Sebutan semula ditetapkan pada 29 Januari tahun depan.
Seorang lagi adik beradik Siti Nurfatimah dan Siti Nurshafina iaitu Muhammad Taufik Sallehudin, 30, didakwa bersama-sama seorang lelaki, Mohamad Zaidi Sani, 34, bagi pertuduhan memiliki kanabis seberat 14.81 gram (g) dan mengedar dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 59.88g.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Disember ini.
Sementara itu, di hadapan Majistret, R. Salini, Siti Nurfatimah menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu mengedar pil yaba (81g) dan MDMA (106g) serta memiliki ketamin (665g).
Mereka kecuali Raffi turut didakwa berdagang senjata api iaitu empat pucuk pistol dengan satu kelopak peluru setiap pistol serta memiliki 136 butir peluru.
Pendakwaan ke atas Raffi bagi tuduhan yang sama akan dibuat pada 26 Oktober. – UTUSAN










