Memperingati Muhammad Rasulullah

Memperingati Muhammad Rasulullah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini umat Islam seluruh dunia meraikan Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai acara memperingati Rasulullah seperti berarak sambil berselawat ke atas nabi akhir zaman itu.

Bagi negara ini, memperkukuhkan lagi penghayatan umat Islam terhadap Nabi Muhammad, diadakan juga sambutan Maulidur Rasul di peringkat negeri dan juga kebangsaan.

Pada majlis itu juga akan diumumkan mereka yang banyak berjasa terhadap pembangunan ummah termasuk dari segi ekonomi, pendidikan dan dakwah Islamiah akan diangkat sebagai Tokoh Maulidur Rasul. Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bukan Islam juga menerima anugerah sama.

Walaupun mereka bukan Islam, perbuatan dan tindakan mereka adalah juga ciri-ciri mulia yang sudah lama disyorkan oleh Nabi Muhammad sejak baginda lahir pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah atau bersamaan dengan 20 April 571 Masihi dan menerima wahyu pertama daripada Allah ketika berusia 40 tahun.

Sesungguhnya apa yang diamal dan tunjuk ajar ba­ginda bukan hanya dikhususkan kepada orang Islam tetapi juga untuk umat sejagat.

Ketika baginda wafat pada 8 Jun 632, selain wahyu daripada Allah yang kemudiannya dikumpulkan dalam al-Quran, kitab suci yang menjadi pedoman untuk kehidupan umat manusia, perbuatan dan nasihat baginda juga menjadi panduan kepada umat Islam.

Pedoman, tunjuk ajar dan nasihat baginda itu tidak ada cacat celanya. Tertib ketika beribadat, hidup aman damai dan bersatu walaupun berbeza agama atau kepercayaan, elak ajaran sesat serta menjaga sahsiah diri dan amanah dalam kehidupan tidak ada salahnya jika diamalkan dari dahulu sehingga hari ini.

Sepatutnya ajaran Rasulullah itu dipegang dan menjadi ikutan setiap umat Islam. Ia sudah terbukti berjaya apabila Nabi Muhammad boleh melakukannya iaitu daripada kehidupan yang dihina, ditindas hingga berjaya membina sebuah peradaban yang tinggi.

Sukar sangatkah untuk pengikut beliau ikuti panduan yang telah diberikan?

Apakah kerana culas dengan ajaran yang disampaikan oleh pesuruh Allah itu, pelbagai masalah timbul pada hari ini.

Di negara ini juga tidak terkecuali. Walaupun me­ngucap kalimah syahadah yang sama, Tuhan dan nabi yang sama tetapi apabila berpolitik segala-galanya berubah. Malah sanggup bergaduh dan sanggup menghina sesama saudara.

Sebab itulah sempena dengan sambutan Maulidur Rasul kali ini dan buat ke sekian kalinya belajarlah daripada iktibar dan pedoman yang disampaikan oleh Muhammad pesuruh Allah itu. – UTUSAN

  • Nizam Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia