NABAWAN: Kira-kira 500 penduduk dari lapan kampung yang terputus hubungan luar akibat kejadian tanah runtuh pada awal bulan ini, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila bantuan makanan disalurkan ke kampung mereka.
Lapan kampung yang terjejas akibat tanah runtuh pada 5 September lalu ialah Kampung Kabu, Kampung Saliliran, Kampung Siatu, Kampung Simohong, Kampung Karampalon, Kampung Babayasing, Kampung Dobolon dan Kampung Sibangali.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Abdul Razak Muda berkata, misi bantuan kemanusiaan Salinatan-Pensiangan kali ini membabitkan lima kali penerbangan bagi menghantar barang makanan keperluan asas ke kampung-kampung yang terjejas.
“Misi kemanusiaan ini telah dijalankan sebanyak dua kali. Misi pertama diadakan pada 12 September lalu membabitkan penghantaran 2.3 tan metrik barang makanan menggunakan pengangkutan air.
“Untuk misi kedua kali ini, ia melibatkan penghantaran kira-kira 11 tan metrik barang makanan keperluan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Forces of Love.
“Misi hari ini membabitkan penggunaan dua helikopter iaitu jenis Mi-171 milik JBPM dan AW 139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya semalam.
Sementara itu, Juruterbang JBPM, Ahmad Fissol Ismail berkata, keseluruhan anggaran perjalanan semalam adalah selama dua jam 30 minit dengan ketinggian kira-kira 914 meter dari paras laut.
Katanya, pesawat ringan itu diterbangkan dari pangkalan udara JBPM Miri ke Sabah bagi menjayakan misi kemanusiaan berkenaan.
Bagi perjalanan dari Pekan Nabawan ke Pensiangan pula, ia mengambil masa perjalanan kira-kira 40 minit dengan mengambil kira keadaan cuaca yang agak berawan di sesetengah kawasan. – UTUSAN











