Saya orang baik, mereka tanya empat soalan sahaja - Sanusi

Saya orang baik, mereka tanya empat soalan sahaja – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor mengangkat sumpah jawatan ADUN sempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 di Wisma Darul Aman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Mereka hanya tanya empat soalan, itu sahaja. Saya bukan orang jahat nak tanya banyak-banyak, saya ini dikenali sebagai orang baik, tanya sikit pun padan dah.”

Itu reaksi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditanya sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merekodkan kenyataannya mengenai siasatan mencuri unsur nadir bumi (REE) di Sik.

“Selesai sudah (minggu lalu),” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 dan Majlis Angkat Sumpah Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini semalam.

Menteri Besar Kedah itu berkata, proses tersebut lancar dengan kehadiran pegawai SPRM ke pejabatnya.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan SPRM mengambil keterangan Menteri Besar itu di pejabatnya pada 17 September lepas bagi membantu siasatan kes kecurian REE di Sik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, siasatan kes itu berada di peringkat akhir namun pihaknya perlu melihat kepada beberapa perkara dalam konteks undang-undang.

Sanusi bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci tentang perkara-perkara yang disentuh semasa keteranganya diambil bagi mengelak sebarang spekulasi.

Sanusi pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak mencuri REE kerana mineral itu bukan daripada jenis yang mudah diproses seperti emas dan bijih timah.

“Nak ambil REE ini bukan mudah kerana ia perlu ada teknologi dan melalui banyak proses. Dia bukan macam bijih timah, emas, dulang-dulang nampak emas. Dia macam-macam proses tujuh lapan peringkat, tidak mudahlah untuk pihak yang tak ada teknologi bagi menghasilkan REE.

“Ada dua negara saja ada kemahiran iaitu China dan Amerika Syarikat dan kedua-dua teknologi itu tidak dipindahkan. Itulah kita sedang ‘bargain’ supaya teknologi itu bawa ke sini dibuka kilang di sini. Kalau pakai korek, tanah apa semua nak dulang nak ayak, nak cucuh sendiri. Boleh jadi REE takkan jadi. Sebab dia ada proses kimia yang panjang. Tiap-tiap elemen tu kena melalui satu proses, jadi tidak mudah,” katanya.

Semalam Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan sembilan individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Baling atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik pada 14 September lalu, disyaki menjalankan penerokaan REE.

Sementara itu, Sanusi berkata, pertikaian dalaman Pas berkaitan pemilihan calon ketika pilihan raya negeri (PRN) yang lalu selesai dengan pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu daripada parti itu semalam.

Beliau berkata, pelantikan Yang Dipertua Pas Langkawi, Zubir Ahmad menggantikan Datuk Johari Bulat daripada Bersatu menamatkan krisis tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×