ILMU dan profesionalisme. Itu dua perkataan yang tidak lekang dibibir bekas personaliti TV3, Nurfarahin Jamsari, 61. Pertemuan empat mata dengan anak kelahiran Singapura ini, baru-baru ini, suatu peluang keemasan yang tidak harus dilupakan.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan Perniagaan, Indiana Institute of Technology, Fort Wayne, Indiana, Amerika Syarikat (AS) ini sentiasa membawa buku nota bersama.
Sepanjang tiga dekad berkecimpung dalam bidang penyiaran, ilmu jualah yang membentuk keperibadiannya.
Biarpun rupa paras antara elemen terpenting sebelum terpilih bekerja sebagai penyampai berita atau hos rancangan, namun, ibu empat anak ini tidak menidakkan kepentingan bakat dan ilmu.
“Rupa dan bakat pakej saling melengkapi. Kalau ada rupa sahaja, orang cakap macam tin kosong sebab anda tak tahu apa yang disampaikan. Kalau bakat sahaja tanpa rupa, penonton tak mahu tengok.
“Ada paras rupa dan bakat pun tidak cukup, sebaliknya perlu jadi lain daripada yang lain. Ada keunikan tersendiri atau faktor X iaitu ilmu. Ilmu perlu ada sebab kemahiran itu boleh diasah dan belajar kemudian. Rupa pula asalkan kelihatan menyenangkan, sudah cukup,” katanya.
Nur Farahin berkhidmat di TV3 pada 1987 bermula sebagai wartawan penyiaran. Penyampai berita ini turut mengendalikan rancangan bual bicara antaranya Nona, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini, Sekapur Sireh dan Potret Kejayaan.
Beliau pernah menghasilkan buku tentang berpantang bertajuk 44 Hari Bersama Nurfarahin.
Buku setebal 128 halaman itu ditulis berdasarkan pengalaman peribadinya dan kenalannya mengenai berpantang.
BUKAN SEKADAR SUARA
Mengulas tentang penyampaian berita, kata Nur Farahin ia bukan tentang suara semata-mata, sebaliknya, bagaimana penyampai dapat menyakinkan penonton terhadap berita yang disiarkan secara langsung.
“Bila kita menonton program rancangan atau berita, kita perlu mampu tarik audiens.
“Sampaikan berita bukan setakat suara, tetapi perlu ekspresi wajah dan selari dengan skrip berita, intonasi dan sebutan. Jadi ia adalah pakej yang merangkumi semua faktor.
“Saya bermula sebagai wartawan penyiaran dan banyak buat liputan di lapangan jadi saya berpeluang mencungkil cerita.
“Jadi, bila saya yang menyampaikan hasil laporan yang saya buat sendiri, saya mampu menjiwai skrip berita tersebut,” kongsinya dalam temubual Seri baru-baru ini.
Jelita berbaju songket, matanya bagaikan bersinar setiap kali berbicara mengenai pengacaraan, dunia yang amat dicintainya.
Kerjaya glamor ini memberi tempias populariti individu dan itu diakui Nurfarahin.
Lantas, perlukah penyampai berita menjadi terkenal seperti selebriti lebih-lebih lagi di TikTok?
“Terpulang, hak masing-masing asalkan tidak melampau batas. Kalau hendak glamor okey, cuma jangan melampaui batas.
“Apa pekerjaan sekalipun, kita perlu pastikan tidak melanggar batas dan perlu sensitif bab agama, bangsa dan budaya. Apatah lagi, negara kita ini terdiri pelbagai bangsa, perlu ada perasaan hormat antara satu sama lain,” ujarnya.
TAK PERNAH MENYESAL
Sudah menjadi rutin buatnya pulang lewat malam dan datang semula ke pejabat pada awal pagi, keesokan hari.
Biarpun separuh hidupnya diabadikan dengan bekerja dan menghadap kamera, beliau sentiasa bersyukur kerana diberikan peluang membesar dengan stesen penyiaran TV3.
“Habis baca berita, tak balik rumah lagi, kadang-kadang diberikan tugasan. Kalau bercuti boleh dipanggil datang bekerja,” kongsinya mengimbas kenangan.
Dunia media mengajar dirinya banyak perkara tentang kehidupan termasuk peluang bertemu masyarakat pelbagai latar hidup.
“Ramai bertanyakan soalan ini (menyesal kerja media). Alhamdulillah, tak. Dari serendah-rendah orang saya jumpa sehingga individu terpenting saya temui.
“Dengan kerja ini jugalah saya mampu terbang ke banyak negara,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, ujarnya beliau masih aktif menerima undangan menjadi pengacara majlis, perkhidmatan suara latar serta memberikan latihan lontaran suara di syarikat korporat dan konsultasi peribadi.
ROBOT GANTI MANUSIA
Seiring perkembangan teknologi, terdapat agensi berita yang sudah mula memperkenalkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Disoal tentang robot bakal menggantikan manusia, beliau mengakui agak sangsi dengan keupayaan tersebut.
“AI ini sudah tentu bukan manusia. Bagaimana ia akan menghasilkan ekspresi muka? Adakah akan kelihatan kaku? Adakah mutu penyampaian setaraf dengan manusia?
“Sedangkan baca berita ini perlukan penjiwaan, emosi. Mungkin boleh guna robot tetapi bukan untuk program berita. Kalau program kanak-kanak mungkin sesuai. Apapun, ia adalah cabaran bagi dunia baharu,” katanya.
Berkongis pengalaman, Nurfarahin berkata dulu wartawan sealiran dengannya menggunakan alat telekomunikasi peribadi dikenali sebagai pager bagi menyampaikan dan menerima mesej pendek sewaktu zaman awal pembabitan sebagai wartawan penyiaran.
“Dulu mana ada WhatsApp, guna telefon besar dan berat. Waze pun tiada, kalau sesat tanya orang kampung, pergi masjid atau stesen minyak.
“Saya bermula dari zaman menggunakan mesin trengkas. Kalau buat editing program majalah kami guna mesin tape yang perlu pusing dan tekan punat. Sekarang mudah, guna komputer sahaja,” jelasnya.
Ketika teknologi belum berkembang, katanya, wartawan penyiaran perlu membuat kajian dengan memotong keratan akhbar dan menyimpannya sebagai bahan rujukan.
“Zaman saya, wartawan perlu rajin buat penyelidikan dan kajian. Kalau ada berita tentang pilihan raya lima hingga 10 tahun lalu, saya perlu pergi ke pejabat akhbar The New Straits Times (NST) untuk mencari bahan bercetak.
“Dulu google tiada. Kami kena rajin pergi perpustakaan. Malah turut perlu menghubungi pihak kedutaan sekiranya tidak pasti dengan istilah atau sebutan tertentu.
“Kalau di bilik berita dahulu, ada arwah Datuk Mahadzir Lokman dan Razak Abdullah yang menjadi sifu rujukan bagi istilah baku Bahasa Melayu,” katanya.
BERJUANG MELAWAN KANSER
Hidup tak selalunya indah, langit tidak selalunya cerah. Penghujung tahun 2020, wanita ini diduga dengan ujian besar dalam hidupnya apabila disahkan menghidap barah payudara tahap tiga.
Tidak mengambil masa lama, Nurfarahin membuat keputusan menjalani pembedahan membuang ketulan lumpektomi di bahagian sebelah payudaranya, dua minggu selepas dimaklumkan doktor.
“Ikutkan saya tahu ada kanser lambat juga. Mulanya tak rasa apa-apa, cuma sedar ada ketulan.
“Dulu selalu buat mamogram, lepas itu nak tunggu janji temu dengan doktor agak lama disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bila dapat tahu masa itu bulan Ramadan. Jadi, saya minta doktor untuk buat pembedahan selepas bulan tersebut. Doktor tak bagi dan suruh saya buat pembedahan segera. Selepas itu, ada buat radioterapi dan kimoterapi,” kongsinya.
Walaupun sudah menjalani pembedahan membuang ketulan tersebut, Nurfarahin sentiasa menjaga jadual dan rutin berjumpa pakar onkologi di hospital.
“Hari ini saya perlu selalulah periksa bahagian berkenaan dan patuh nasihat doktor. Saya perlu makan ubat selama lima ke 10 tahun. Ubat itu sangat mahal yang bertujuan membunuh sel kanser dalam badan.
“Saya juga aktif dengan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia dan secara tidak langsung kita akan mendapat sokongan moral. Daripada situ, kita akan belajar dengan ramai orang dan terbuka bercakap mengenai kanser yang dihidapi,” katanya.
Saat ditimpa ujian itu, Nurfarahin tidak melatah, apatah lagi menyalahkan takdir. Malah, khabar duka itu membuatkan dirinya lebih cekal dan kuat mengharungi kehidupan.
Baginya, setiap ujian yang Allah SWT berikan ada hikmah tersembunyi di sebaliknya.
Sebagai hamba, beliau sentiasa menyematkan perasaan baik sangka agar kehidupan yang dijalani sentiasa positif.
“Allah SWT masih bagi peluang untuk saya menjalani kehidupan yang lebih baik. Selepas diserang kanser, saya rasa lebih dekat dengan Tuhan. Perspektif hidup saya berubah dan mula menghargai sekecil-kecil perkara dalam hidup.
“Tidak perlu kita mengeluh atau mempersoal ujian yang hadir dalam hidup. Saya malah bersyukur dikelilingi anak-anak yang menjaga saya sepanjang di hospital,” ujarnya.










