PETALING JAYA: Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara Selasa lalu menjelaskan beliau hanya mahu ‘berehat’ sebagai wakil rakyat di kawasannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Parlimen Bachok itu menafikan beliau mahu berehat daripada arena politik seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Saya bukan mahu berehat daripada politik, tetapi berehat daripada menjadi wakil rakyat.
“Sekarang ini, apabila parti Pas telah memilih saya menjadi Ahli Dewan Negara, saya terpaksa ambillah. Lebih awal dari yang saya harapkan (untuk berehat).
“Soal pelantikan, saya mengambil tanggungjawab dan amanah yang diberi. Insya-Allah saya akan cuba laksanakan yang terbaik dengan pengalaman saya sebagai bekas wakil rakyat di Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.
Nik Mohamad Abduh adalah anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah kelmarin di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ahli-ahli Dewan Negara.
Pada 5 September lalu, sidang DUN Kelantan sebulat suara melantik Nik Mohamad Abduh sebagai Ahli Dewan Negara selepas mendapat persetujuan majoriti ADUN Kelantan.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Nik Mohamad Abduh membuat keputusan mengejut dengan tidak mempertahankan kerusi Parlimen Bachok.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, beliau mengumumkan berehat daripada arena politik tanah air.
Difahamkan, Nik Mohamad Abduh mengambil keputusan itu selepas berlaku konflik setelah namanya tidak tercalon untuk bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.
Ketika itu, beliau mendedahkan permintaannya untuk bertanding di salah satu daripada tiga kerusi DUN di Parlimen Pengkalan Chepa pada PRN ditolak.
Sebelum ini, terdapat ura-ura beliau akan bertanding di kerusi DUN Chempaka yang merupakan kawasan bapanya, Allahyarham Nik Abdul Aziz.
Mengukuhkan lagi dakwaan itu apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Hashim Jasin mengesahkan nama Nik Mohamad Abduh melepasi tapisan Majlis Syura, sekali gus layak menjadi calon parti itu pada PRN, Ogos lalu.
Bagaimanapun, namanya terus tercicir daripada arena politik negara selepas tidak tersenarai pada PRN. – UTUSAN










