PETALING JAYA: Kumpulan UMW merekodkan jualan automotif yang kukuh pada Ogos lalu dengan pendaftaran jualan sebanyak 41,386 kenderaan di mana kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua terus memenuhi pesanan tertunggak mereka.
Untuk itu, jualan automotif Kumpulan meningkat sebanyak 16 peratus kepada 271,515 unit bagi lapan bulan pertama 2023, berbanding 233,367 unit yang didaftarkan pada tempoh sama 2022.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, prestasi Kumpulan didorong jualan kukuh berterusan yang didaftarkan oleh kedua-dua UMWT dan Perodua pada Ogos.
“Setakat Ogos 2023, kedua-dua syarikat mencatatkan jualan yang lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Jualan kukuh yang dicapai didorong oleh pengenalan model baharu yang kompetitif dan menarik serta promosi jualan yang menarik.
“Berdasarkan tempahan yang tertunggak, kami yakin kedua-dua syarikat akan mencapai sasaran jualan mereka untuk tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
UMWT mencatatkan jualan sebanyak 10,275 unit pada Ogos 2023, iaitu 13 peratus lebih tinggi daripada 9,091 unit yang direkodkan pada bulan sama tahun lalu.
Sehingga Ogos 2023, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 67,283 unit, pertumbuhan sebanyak 9.0 peratus berbanding 61,639 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Sehubungan itu, UMWT mencapai bahagian pasaran sebanyak 13.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2023.
Toyota Vios, Hilux dan Corolla Cross serba baharu merupakan model terlaris Kumpulan setakat ini.
UMWT mempertingkatkan penawaran barisan produknya pada Ogos dengan pengenalan Toyota Corolla 2023 yang dipertingkatkan serta varian Toyota Corolla GR Sport.
Ia juga memperkenalkan varian Lexus RX500h F Sport 2023 serta pelancaran Lexus RX350 serba baharu pada Mei 2023.
Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 31,111 unit pada Ogos 2023, 19 peratus lebih tinggi berbanding 26,039 unit pada Ogos 2022, terutamanya disebabkan oleh rantaian bekalan yang beransur baik serta peningkatan operasi pengeluaran dan jualan.
Setakat Ogos lalu, jualan Perodua melonjak kepada 204,232 unit, 19 peratus lebih tinggi daripada 171,728 unit yang didaftarkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Perodua mencapai bahagian pasaran sebanyak 40.7 peratus untuk lapan bulan pertama tahun ini. Untuk lapan bulan pertama 2023, model terlaris Perodua ialah Bezza, diikuti Myvi dan Axia. – UTUSAN










