Monumen Temerloh Titik Tengah Semenanjung sepi

Monumen Temerloh Titik Tengah Semenanjung sepi

NUR AIN Irwan Shah (tengah) bersama keluarga ketika berkunjung ke monumen ikonik Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) di Paya Siput, Lanchang di Temerloh, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Monumen ikonik Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) di Paya Siput, Lanchang di sini yang dibina dengan kos pembangunan kira-kira RM11 juta ‘sepi’ kerana kurang dikunjungi pelawat sejak dibuka kepada umum pada Oktober 2019.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pelawat dari Selayang, Selangor, Nur Ain Irwan Shah, 32, berkata, monumen ikonik TTTS adalah antara lokasi pelancongan bertaraf dunia kerana satu-satunya wujud di negara ini.

“Saya dan keluarga terkejut bukan kerana perlu membayar tiket masuk, tetapi kerana kehadiran pelawat yang boleh dikira dengan jari walaupun pada cuti hujung minggu.

“Lokasinya berdekatan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Taman Deerland, Rezab Hidupan Liar Krau dan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal sepatutnya memberi kelebihan menarik lebih ramai pelawat,” katanya di sini.

Projek monumen ikonik TTTS di Kampung Paya Siput dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur ( ECERDC) dengan bajet RM11.788 juta.

Peruntukan terbabit membabitkan projek monumen ikonik TTTS, monumen Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), plaza komersial dan lain-lain yang dibuka kepada awam bermula Oktober 2019.

Projek itu dikenal pasti sebagai salah satu projek strategik ECER di kawasan seluas 1.62 hektar merangkumi projek Tasik Mini dan Taman Monumen Awam.

Sementara itu, pelawat dari Puchong, Selangor, Mohammad Anuar Shamsuddin, 30, berkata, dia melawat TTTS setelah mendapat makluman dari rakan di negeri ini.

“Walaupun lokasi TTTS di Paya Siput begitu istimewa tetapi kehadiran pelawat masih kurang memberangsangkan berbanding PKGK. Sesuatu perlu dilakukan supaya lokasi ini tidak mati begitu sahaja,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Shamsiatun Anuar, 30, dari Pekan pula berkata, sangat merugikan jika TTTS ‘sepi’ tanpa kehadiran pelawat.

“Kawasan ini mempunyai kemudahan untuk pelawat termasuk gerai dan kemudahan awam seperti wakaf, surau dan tandas, tempat persinggahan bas pelancong, komuniti basikal dan motosikal besar.

“Selain itu pelawat tempatan dan luar negara tidak perlu risau keselamatan kanak-kanak kerana disediakan kawasan rekreasi dan permainan kanak- kanak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×