KUANTAN: Meskipun sudah mencecah usia lebih 70 tahun, kira-kira 100 peneroka di Felda Bukit Kuantan, di sini masih dibebani hutang berikutan penanaman semula kelapa sawit di tanah rancangan itu bermula awal 2021.
Difahamkan, menerusi Pinjaman Sara Hidup itu, rata-rata peneroka berhutang dalam RM30,000 hingga RM40,000 dalam tempoh penanaman semula iaitu kira-kira dua hingga tiga tahun.
Malah, mereka diberi pilihan untuk melangsaikan ansuran bulanan hutang berkenaan iaitu maksimum RM1,100, RM800 dan RM500.
Pilihan terbabit hanya diberikan kepada peneroka Felda yang setia bersama Felda atau menyerahkan urusan ladang kepada agensi tersebut.
Difahamkan juga, hutang terbabit akan dibayar selepas tanaman sawit itu mula membuahkan hasil dan pendapatan peneroka kembali kepada asal yang dijangka dalam masa sekitar tiga tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peneroka, Abu Hanipah Kasim, 85, melahirkan rasa terkilan kerana terpaksa kembali berhutang meskipun sudah mencecah usia emas.
“Rasanya seperti kembali kepada ketika awal penerokaan Felda dahulu apabila kami perlu berhutang untuk membeli makanan dan barangan keperluan harian.
“Di usia emas ini, tidak sepatutnya kami masih hidup berhutang. Tetapi apakan daya kami terpaksa, kalau tidak kami tidak ada duit.
“Takkanlah hendak terus mengharapkan bantuan anak-anak. Anak-anak pun sudah berkeluarga dan sudah ada tanggungan sendiri,” katanya di sini semalam.
Bagi ibu tunggal, Fatimah Ratin, 71, pula, meskipun wang dimasukkan ke akaun setiap bulan, dia berasakan dirinya terpaksa menanggung bebanan hutang.
“Kalau ikutkan ini sudah kali kedua penanaman semula. Kali pertama penanaman semula kami tidaklah merasa sebeban sebegini. Mungkin ditambah dengan faktor usia dan faktor ekonomi sekarang.
“Macam saya ibu tunggal, memang sudah tidak mampu mencari kerja lain kerana tiada lagi kudrat. Jadi terpaksalah kembali hidup berhutang di usia begini,” katanya yang mengambil pinjaman maksimum RM1,100 sebulan.
Seorang lagi peneroka, Mohamaed Tahar, 76, pula menuntut agar pihak Felda tampil memberikan penjelasan berkaitan hutang terbabit.
“Jika penanaman semula sawit menelan masa dua tahun setengah, jadi dianggarkan kami terpaksa berhutang sebanyak RM30,000 dengan pihak Felda.
“Kami sudah lama bersama Felda dan kami merasakan sudah sampai masanya di usia kami ini kami sudah tidak lagi dibebani hutang,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan sebelum ini terdapat wang lebihan bayaran yang akan dikembalikan kepada peneroka yang dianggarkan berjumlah sekitar RM40,000.
“Jika saya salah, mohon pihak atasan betulkan. Tetapi jika tidak silap, saya dimaklumkan peneroka Felda yang bersama Felda ini ada mempunyai wang lebihan potongan sebelum ini.
“Wang terbabit sekiranya betul ada, sepatutnya digunakan untuk membayar segala kos penanaman semula. Jadi kami tidak perlu lagi berhutang dengan Felda.
“Tapi mungkin masih ramai terutamanya generasi kedua yang tidak tahu tentang perkara ini, justeru kami memohon agar pihak Felda memberikan penjelasan.
“Kami sepatutnya diberikan penerangan yang jelas tentang aliran keluar masuk wang kami dan ke mana perginya wang lebihan potongan yang difahamkan ada serta mengapa ia tidak digunakan untuk penanaman semula,” katanya. – UTUSAN











