PADANG TERAP: Peneroka Felda Lubuk Merbau di sini merungut berhubung tawaran harga pembelian kayu pokok getah oleh pengurusan Felda yang didakwa mereka terlalu rendah dan dianggap tidak masuk akal.
Setiausaha Projek Pembangunan Ladang Lestari Peringkat 285 Felda Lubuk Merbau, Mohd. Aman Ghazali berkata, harga ditawarkan Felda untuk pokok-pokok yang bakal ditebang bagi memberi laluan kepada projek penanaman semula itu terlalu rendah jika dibandingkan dengan harga sebenar ditawarkan oleh kilang-kilang kayu lain.
Katanya, Felda cuma menawarkan untuk membeli kayu-kayu pokok getah yang ditebang pada harga RM4,500 sehektar sedangkan nilai sebenar kayu-kayu tersebut dianggarkan kira-kira RM11,000 setiap hektar.
“Nilai RM11,000 setiap hektar itu bukan rekaan kerana kami sendiri sudah membawa beberapa pihak lain bagi membuat penilaian. Jika kami dapat mendapat harga itu, maka anggaran yang diperoleh setiap peneroka adalah lebih RM30,000 kerana masing-masing memiliki 3.2 hektar tanah.
“Sebaliknya jika kami bersetuju dengan harga ditawarkan Felda, jumlah yang kami terima hanya kira-kira RM14,000 dan jumlah itu kemudian difahamkan akan ditolak pula dengan hutang lapuk peneroka,” katanya semalam.
Berikutan percanggahan harga yang terlalu besar itu, katanya, lebih 200 peneroka berharap agar mereka diberi pilihan untuk menguruskan sendiri penebangan serta menjual kayu-kayan tersebut kepada mana-mana pihak yang mampu menawarkan harga setimpal.
“Ketika kami melaksanakan proses penebangan dan penanaman semula buat kali pertama pada 2000, perkara ini dibolehkan tetapi kini kami seolah-olah tidak memiliki jalan keluar dan dikatakan mesti menjual kayu-kayu itu kepada Felda.
“Kami tak ada masalah untuk menjual kepada Felda tetapi biarlah harganya berpatutan dan sesuai dengan nilai semasa. Lagipun ketika ini rata-rata peneroka masih memiliki hutang mencecah belasan ribu ringgit dengan Felda dan jika pokok-pokok ditebang itu dapat dijual pada nilai sebenar, sudah tentu kalangan peneroka mampu bebas dari cengkaman hutang,” katanya.
Difahamkan ketika ini ada sebahagian daripada lebih 400 peneroka telah menyatakan persetujuan untuk menerima harga daripada pihak Felda manakala sebahagian lagi masih berusaha memperjuangkan harga lebih tinggi.
Tambahnya, tawaran harga sedemikian amat tidak berpatutan ketika kos untuk penanaman semula yang dikenakan Felda sangat tinggi iaitu antara RM85,000 hingga RM90,000.
“Sedangkan kalau kami melantik kontraktor lain untuk buat kerja tersebut, kosnya dianggarkan kira-kira RM30,000 saja tetapi Felda kenakan caj RM85,000 hingga RM90,000. Disebabkan itu, kami amat berharap agar isu harga kayu ini diberi perhatian. Berilah kami kebebasan untuk membuat keputusan yang mendatangkan kebaikan,” katanya.
Difahamkan, ketika ini ada sebahagian daripada lebih 400 peneroka telah menyatakan persetujuan untuk menerima harga daripada pihak Felda manakala sebahagian lagi masih berusaha memperjuangkan harga lebih tinggi.
Sementara itu Pengerusinya, Mohd. Suhaimi Omar pula berkata, kalangan peneroka seakan tidak memiliki pilihan untuk menjual kayu pokok yang ditebang kepada pihak lain.
“Mahu tak mahu, dikatakan kami perlu terima juga harga ini. Kalau tak terima, difahamkan peneroka tidak akan ditawarkan pinjaman sara hidup serta kemudahan-kemudahan lain selepas ini termasuk baja,” katanya. – UTUSAN











