AR-RAUDHAH
Mungkin sebahagian orang akan berpendapat harta didahulukan berbanding keluarga kerana dengan harta akan terpelihara keluarga. Sebahagian yang lain pula berkata keluarga lebih utama berbanding harta. Sebabnya, kekeluargaan lebih bernilai berbanding harta.
Harta boleh dicari namun keluarga adalah diberi. Sebenarnya, dua-dua pandangan boleh jadi betul dan boleh jadi salah.
Hakikatnya harta dan keluarga sama penting dalam menentukan kelangsungan hidup di muka bumi. Tanpa keduanya, kehidupan ini akan sukar diharungi. Di antara keduanya tidak mendahului satu dari yang lain.
Ada pun jika berlaku pertembungan antara harta dan keluarga, manakah yang menepati kebenaran dari sudut syariat? Harta tidak dapat didahulukan dari keluarga jika melanggar prinsip agama, seperti mencarinya dengan cara yang batil atau gigih mencari harta sehingga keluarga terabai.
Demikian juga keluarga tidak dapat didahulukan daripada harta apabila melanggar prinsip agama juga. Contohnya, bersaksi palsu untuk membela keluarga agar tidak dihukum.
Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. (al-Nisa’: 135).
Kesimpulannya, bukan harta atau keluarga yang didahulukan satu dari yang lain, namun kebenaranlah yang wajar didahulukan daripada harta dan keluarga.
Dalam konteks warisan (harta pusaka) yang berkait rapat dengan keluarga, syariat telah menetapkan agihan kepada setiap ahli waris seperti yang diajar dalam ilmu faraid (ilmu mengenai warisan).
Sebagai seorang muslim, hendaklah menerima ketentuan pembahagian yang diputuskan melalui faraid kerana ia adalah hukum Allah SWT.
Syariat Islam amat mengambil berat mengenai harta secara umumnya dan harta warisan secara khasnya demi menjaga hak keduanya dan antaranya saling melengkapi.
Sahabat Nabi SAW bernama Sa’ad bin Abi Waqqqas meriwayatkan bahawa saat beliau sakit dan diziarahi oleh Rasulullah SAW lalu Sa’ad berkata: Sesungguhnya aku – wahai Rasulullah – sakit seperti yang engkau lihat, dan aku orang yang banyak harta, dan tiada ahli warisku melainkan anak perempuanku seorang sahaja, maka bolehkah aku sedekahkan 2/3 dari hartaku? Nabi menjawab: “Tidak boleh”. Sa’ad berkata: “Kalau begitu separuh dari hartaku?” Nabi bersabda: “Tidak boleh”, Sa’ad berkata: “Kalau begitu 1/3?” Nabi menjawab: “Ya, walaupun 1/3 itu sudah cukup banyak. Wahai Sa’ad! Sesungguhnya engkau tinggalkan keluargamu dalam keadaan kaya (dengan hartamu) lebih baik daripada kamu biarkan mereka miskin dan meminta-minta kepada orang lain. (Riwayat Muslim)
Terkadang berlaku perselisihan antara keluarga dalam harta, maka dalam hal ini perlu ada sikap adil dan ihsan. Adil maksudnya memberi hak kepada yang berhak, manakala ihsan pula adalah bersikap bijaksana dengan mengalah atau menggugurkan hak demi menjaga kerukunan keluarga.
Dalam suatu peristiwa zaman Rasulullah SAW ada dua beradik berselisih mengenai warisan sebidang tanah yang menjadi rebutan. Lalu masing-masing membawa bukti kalau tanah itu adalah miliknya.
Maka Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kamu berselisih lalu datang kepadaku untuk meminta hukum, dan sesungguhnya aku adalah manusia, mungkin ada di antara kamu yang lebih pandai berhujah dari yang lain, ketahuilah sesungguhnya aku akan memberi hukum sesuai dengan bukti yang aku dengar, maka dari itu barang siapa yang aku putuskan hukum untuknya akan hak saudaranya maka janganlah dia mengambilnya kerana sesungguhnya itu adalah sepotong dari api neraka untuknya, dia akan datang dengan memikulnya di lehernya di hari kiamat nanti.
Maka kedua saudara itu menangis kerana khuatir mengambil hak saudaranya yang lain, lalu masing-masing mereka mengatakan: “Aku serahkan hak aku untuk saudaraku,” lalu Rasulullah S.A.W. bersabda: “Ada pun kamu berdua sudah berbuat demikian, maka bahagikanlah tanah itu kepada dua bahagian, dan hendaklah masing-masing menghalalkan kekurangannya kepada yang lain”.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersikap adil dengan menjatuhkan hukum berdasarkan dengan bukti. Namun, bukti boleh dipalsukan, oleh sebab itu Rasulullah mengingatkan kedua-dua saudara tadi untuk tidak mengambil hak yang bukan miliknya.
Setelah mendengar sabda Rasulullah kedua-dua saudara tadi mengambil sikap ihsan dengan menggugurkan haknya untuk yang lain.
Apabila berlaku perbalahan atau konflik dalam keluarga yang berkaitan dengan harta atau kesalahan-kesalahan yang menyakitkan hati dan perasaan, ada dua pilihan untuk penyelesaian iaitu sama ada berlaku adil atau ihsan.
Kebiasaannya ihsan memberi solusi yang lebih berkesan. Seorang sahabat nabi mengadu kepada Rasulullah SAW akan keluarganya, dia bersilaturahim kepada mereka namun mereka memutuskannya, dia berbuat ihsan kepada mereka, namun mereka bertindak sebaliknya dengan kejahatan, maka Nabi bersabda: Kalau engkau benar seperti yang engkau beritahu, maka seakan-akan engkau melemparkan debu ke wajah mereka (mereka akan malu dan mereka yang akan menanggung dosa) dan Allah akan membelamu selagi mana engkau bersikap demikian. (Riwayat Muslim).
Sebuah keadilan itu adalah milik kebenaran. Maka siapa bersikap adil ia telah menegakkan kebenaran, namun ihsan itu adalah milik kebijaksanaan, maka barang siapa yang berbuat ihsan dia adalah orang yang bijaksana.

Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










