KOTA BHARU: Kira-kira 90 peratus atau 1.26 juta penduduk Kelantan makan beras yang diseludup dari Thailand kerana rasa makanan ruji itu didakwa lebih sedap selain aromanya wangi berbanding beras tempatan.
Seminggu dianggarkan lebih 50,000 tan metrik beras Siam dibawa masuk ke negeri ini dan beras pelbagai jenama seperti Arnab, Angsa Emas, Mangga, Basikal dan Serindit mendapat permintaan tinggi.
Anggaran kemasukan beras seludup tersebut berdasarkan setiap hari penyeludup akan membawa 300 hingga 500 kilogram (kg) beras seludup pelbagai cap bagi memenuhi permintaan rakyat Kelantan.
Didakwa terdapat lebih 1,000 penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor di Tumpat hingga Bukit Bunga di Jeli menjadikan aktiviti membawa masuk beras Siam ke negara ini sebagai mata pencarian utama untuk menyara keluarga.
Bagaimanapun, susulan ketidakstabilan nilai Ringgit berbanding Bath Thai menyebabkan rakyat negeri ini merungut kerana harga beras Siam turut mahal .
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beras Siam sejak sebulan ini naik antara RM2 hingga RM5 bagi sekampit bergantung kepada berat serta jenama namun penduduk Kelantan tetap memilih beras Siam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penyeludup yang mahu dikenali sebagai Long, 47, berkata, secara putara dia mengakui membawa masuk sekitar 500 hingga 600 kg beras Siam pelbagai jenama sehari.
MEROSOT
Menurutnya, meskipun berlaku kenaikan harga ketika ini namun permintaan terhadap beras itu tidak merosot.
“Cuma saya kerap kali mendengar keluhan pembeli mereka terpaksa membayar lebih untuk membeli beras Siam kerana nilai ringgit semakin merosot.
“Walaupun agak perit, namun, tiada pilihan. Hal ini kerana beras Siam sudah menjadi darah daging yang begitu sebati dengan rakyat Kelantan sejak puluhan tahun lalu,” katanya.
Long berkata, berpandukan kepada maklumat daripada tauke harga beras dijangka tidak berubah dalam masa terdekat kecuali nilai ringgit kembali melonjak.
Seorang peniaga runcit di Tumpat yang hanya mahu dikenali sebagai Ros berkata, di kedainya beras Siam pelbagai jenama yang laris dan beras tempatan tidak laku.
Kata Ros, dia sendiri tidak makan beras tempatan kerana sudah biasa dengan keenakan beras Siam.
“Saya tahu jual beras Siam seludup salah tetapi perkara ini bukan baru dan sudah bergenerasi menjadi mata pencarian peniaga di negeri ini,” katanya.
Kata Ros lagi, jika ada pelanggan mencari beras tempatan, pelanggan berkenaan disaran ke pasar raya untuk memilih pelbagai jenama beras tempatan.
Sementara itu seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Ramlah, 50, berkata, beras seludup menjadi makanan ruji buatnya sejak kecil.
Katanya, rasa manis berbanding beras tempatan selain aroma yang wangi mampu menjadi pembuka selera.
“Kelebihan beras Saim yang lambat basi dan sesuai dijadikan sebagai nasi goreng,” katanya.- UTUSAN











