ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mengesan kebanyakan mereka yang gagal membayar pinjaman bank adalah dalam kalangan peniaga dan peminjam-peminjam yang dibuang kerja selepas terkesan dengan pnademik Covid-19.
Sehubungan itu, Setiausaha Kehormat Cake, Mohamad Yusrizal Yusof berkata, kerajaan perlu campur tangan bagi memastikan bank tidak `menganiaya’ mereka dengan mengenakan tindakan.
“Antaranya kerajaan boleh memastikan bank tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan sita atau melelong premis, tanah dan kenderaan peminjam yang terdesak itu.
“Golongan tersebut perlu diberi sedikit peluang dan masa untuk bangkit semula sebelum mampu membayar semula pinjaman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) direkod sehingga akhir tahun lalu sebanyak RM28.7 bilion.
Angka tersebut adalah tertinggi dalam tempoh sembilan tahun kebelakangan ini dan secara tidak langsung memberi amaran kepada kerajaan supaya segera membantu rakyat menstrukturkan semula pinjaman mereka.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal berkata, kerajaan perlu merancakkan ekonomi bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu kepada rakyat yang sedang melalui kesukaran.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, peminjam berdepan masalah membayar hutang dinasihat berjumpa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menguruskan semula hutang mereka.
Buat masa kata beliau, kerajaan tidak boleh lagi dibebankan dengan masalah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang tinggi kerana tumpuan utama kini kepada isu pandemik Covid-19.
“Peminjam sendiri perlu bertanggungjawab kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai saluran untuk membantu orang ramai menguruskan hutang.
“AKPK sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) akan menawarkan penyelesaian khusus untuk membantu peminjam menstrukturkan semula hutang dan mengelakkan mereka daripada muflis,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, Mohideen menyifatkan cadangan supaya bank melaksanakan pemberian moratorium bayaran balik kepada peminjam bukan penyelesaian terbaik.
Ini kerana jelas beliau, langkah itu hanya akan menyebabkan peminjam terbeban dengan kadar faedah dan lanjutan tempoh pinjaman lebih lama.
Profesor Sekolah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, kerajaan perlu mengambil langkah drastik membantu golongan M40 dan B40 daripada disenarai hitam bank seterusnya termasuk dalam senarai bankrap.
Menurut beliau, golongan tersebut jika tidak dibantu mereka akan terus terjejas lebih-lebih lagi ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, golongan terbabit kini hanya mengharapkan keajaiban bagi mengeluarkan mereka daripada krisis yang dihadapi.
“Sudah pastinya, kerajaan tidak akan selesaikan hutang mereka tetapi kerajaan perlu bantu untuk memulihkan golongan B40 dan M40 dengan membuka laluan baharu bagi mereka mencari sumber pendapatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam. – UTUSAN











