WtE: Shanghai SUS mahu melabur RM15 bilion di Malaysia

WtE: Shanghai SUS mahu melabur RM15 bilion di Malaysia

MOHAMAD Norza Zakaria (tiga kanan) bertukar dokumen kerjasama dengan Cindy Li Haiyan sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Nanning, China. Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua, kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Citaglobal Bhd. (Citaglobal) dan konglomerat China, Shanghai SUS Environment Co Ltd, (Shanghai SUS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan komitmen pelaburan berjumlah RM15 bilion daripada Shanghai SUS bagi pembangunan bersama projek Sisa kepada Tenaga (WtE) di Malaysia.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Shanghai SUS, Cindy Li Haiyan dan Pengerusi Eksekutif yang juga Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria pada Ekspo China-ASEAN Ke-20 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN di Nanning, China.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Citaglobal dalam satu kenya­taan berkata, MoU berkenaan merupakan hasrat kedua-dua pihak untuk meneroka potensi kerjasama dan menilai kebolehlaksanaan membangunkan loji janakuasa WtE terutamanya di Malaysia.

“Cadangan berkenaan adalah untuk mengalihkan semua sisa daripada tapak pelupusan sampah yang tidak mampan ke loji WtE dan menyelesaikan semua masalah pelupusan sisa di Malaysia secara holistik.

“Berikutan pelaksanaan MOU ini, Citaglobal akan memainkan peranan utama dalam pemba­ngunan projek WtE yang dicadangkan di Malaysia manakala Shanghai SUS pula bakal bertanggungjawab membiayai, membina dan mengendalikan projek-projek WtE yang dicadangkan,” katanya.

Mohamad Norza dalam kenyataan sama berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Shanghai SUS, penyedia penyelesaian WtE terkemuka China, dengan rekod prestasi global yang kukuh dan terbukti lama.

Ujar beliau, sistem WtE bukan sahaja menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang bernilai tinggi, tetapi yang lebih penting, keupayaan WtE untuk menukar sisa kepada abu dengan ketara dapat mengurangkan jumlah sisa yang akhir­nya dibuang di tapak pelupusan sampah.

“Pengurusan sisa telah menjadi satu kemestian ke­rana kini kebanyakan bandar kehabisan tapak pelupusan sampah dan kami melihat pembangunan sistem WtE sebagai situasi menang-menang untuk Malaysia.

“Selain melengkapkan sumber tenaga berasaskan bahan api fosil, sistem WtE boleh menjana tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan keperluan tapak pelupusan, dan menjana pendapatan untuk majlis perbandaran dan kerajaan tempatan,” kata­nya.

Sementara itu, Li Haiyan berkata, dengan rekod prestasi Shanghai SUS yang kukuh, pihaknya yakin syarikat ber­kenaan akan dapat menyediakan fasiliti WtE yang moden, bersih dan cekap untuk rakyat Malaysia.

“Di Malaysia, 38,000 tan sisa pepejal dikumpul setiap hari dan dibuang di tapak pelupusan sampah yang menggunakan kawasan seluas 150 ekar tanah setiap tahun. Kerajaan Malaysia telah menyedari keperluan mendesak ini dan telah merancang untuk membina satu fasiliti WtE di setiap negeri.

“Shanghai SUS bersama rakan kongsi kami, Hitachi Zosen Corp, telah berjaya melaksanakan 1,400 loji WtE di seluruh dunia. Kami ingin membuat pelaburan langsung asing (FDI) RM15 bilion ke dalam ekonomi Malaysia untuk tujuan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×