Pelbagai kaedah imbangi kewangan kerajaan - Steven

Pelbagai kaedah imbangi kewangan kerajaan – Steven

STEVEN Sim berucap pada program Jelajah Belanjawan 2024 Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan buat masa ini mempunyai pelbagai kaedah lain untuk mengimbangi kewangan kerajaan tanpa perlu melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim.

Malah kata beliau, kutipan cukai untuk tahun ini sudah 20 peratus menjangkaui sasaran, sekali gus menggambarkan prestasi yang sihat menerusi sistem percukaian sedia ada.

“Kita tidak mahu tengok projek-projek yang besar ‘gajah putih’, kita hendak buat projek-projek yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

“Melalui langkah-langkah ini, kita harap setakat ini tak perlu lagi buat GST kerana akan membebankan rakyat terbanyak,” katanya semasa bercakap dalam Program Jelajah YB Timbalan Menteri Kewangan II ke Negeri Perak Sempena Penyediaan Belanjawan 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam program itu, Steven menghabiskan masa kira-kira dua jam bagi mendengar pelbagai rintihan serta harapan para peserta yang hadir untuk menaik taraf ekonomi dan sosial di negeri ini.

Beliau turut menyatakan potensi Perak sebagai pemain penting dalam industri pertanian terutama aspek keterjaminan makanan.

Saarani dalam program yang sama berkata, Kerajaan Negeri Perak meletakkan sektor kesihatan sebagai satu daripada senarai keutamaan negeri bagi permohonan projek kepada Pusat dalam Belanjawan 2024.

Jelasnya, permohonan itu turut merangkumi projek naik taraf fasiliti serta bangunan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Projek ini dijangka dapat memberi impak yang besar kepada rakyat Perak di Ipoh khususnya di mana ia dapat mengurangkan kesesakan yang ada seterusnya memberi keselesaan kepada para pesakit dan petugas kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×