PETALING JAYA: Seramai 75,545 banduan berada di penjara di seluruh negara sehingga akhir Ogos lalu dengan kesalahan dadah merangkumi hampir 88 peratus penghuni pusat tahanan jenayah itu.
Warga tempatan seramai 62,818 ditempatkan di belakang tembok tahanan manakala selebihnya 12,727 adalah warga asing.
Perangkaan diperoleh Utusan Malaysia dari Jabatan Penjara Malaysia, menunjukkan daripada keseluruhan banduan sebanyak 42,439 orang telah disabitkan kesalahan manakala 28,701 lagi
adalah tahanan reman.
Banduan paling ramai melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah 1952 dengan 66,061 orang yang mana 43,445 individu telah disabitkan kesalahan manakala 22,616 lagi sedang direman.
Selain itu, sebanyak 14,287 banduan adalah mereka yang terlibat dalam pelbagai kes jenayah dengan 11,768 individu telah disabitkan kesalahan manakala 2,519 lagi sedang direman di penjara.
“Dalam pada itu, sebanyak 5,912 banduan lagi adalah mereka yang menjalani hukuman mengikut Akta Imigresen yang mana 4,890 individu telah disabitkan kesalahan dan 1,022 lagi sedang direman.
“Sebanyak 654 banduan lagi yang ada dipenjara kerana terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan yang mana 588 telah disabitkan kesalahan dan 66 lagi direman,” kata rekod yang diperoleh.
Menerusi rekod sama juga, sebanyak 837 banduan adalah mereka yang terlibat dengan kesalahan di bawah Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007.
Data sama juga menunjukkan sebanyak 1,096 banduan adalah mereka yang terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 iaitu dengan 1,096 orang.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 902 orang telah disabitkan kesalahan itu manakala 194 lagi masih direman dan menunggu perbicaraan.
“Sebanyak 311 banduan lagi adalah mereka yang terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Kesalahan Kecil iaitu 281 orang telah disabitkan manakala 30 orang lagi sedang direman. Rekod sama juga menunjukkan terdapat 120 lagi kesalahan lain yang dilakukan banduan-banduan yang berada di dalam penjara ketika ini,” jelasnya.
Di samping itu, sebanyak 397 daripada jumlah banduan yang ada sedang menyambung pelajaran mereka di dalam penjara.
“Sebanyak 226 orang sedang mengikuti Pra Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diikuti 108 adalah mereka yang menduduki SPM dan 63 orang lagi sedang menjalani kursus membaca, menulis dan mengira (3M),” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 40 penjara di seluruh negara, diikuti Pusat Pemulihan Akhlak (empat penempatan); Pusat Pemulihan Khas (lima penempatan) ; Sekolah Henry Gurney (tiga penempatan) dan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (enam penempatan).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mendedahkan Kelantan antara negeri paling banyak penagih kerana kedudukannya berhampiran sempadan negara, dipercayai bekalan itu dibawa masuk.
Dadah sintetik kini paling banyak digunakan penagih kerana kesannya lebih khayal daripada dadah tradisional.
Mengikut data Agensi Antidadah Kebangsaan, sebanyak 137,176 penagih di seluruh negara membabitkan Johor (14,317 orang); Kelantan (13,316 orang); Terengganu (13,314 orang); Kedah (13,267 orang); Selangor (12,949 orang) dan Pahang (12,253 orang). – UTUSAN










