SIRI pilihan raya kecil (PRK) pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkemungkinan tidak akan berhenti selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang dan PRK DUN Jepak di Sarawak.
PRK DUN Pelangai diadakan 7 Oktober ini berikutan kekosongan luar jangka selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Ia bakal disusuli PRK DUN Jepak selepas penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip, 72, juga meninggal dunia pada 15 September.
Di Melaka, kebarangkalian untuk PRK berlangsung dalam masa terdekat juga ada sandarannya di Parlimen Masjid Tanah berikutan Mahkamah Pilihan Raya Melaka mengeluarkan dua waran tangkap terhadap dua saksi kerana gagal menghadiri prosiding perbicaraan penuh petisyen kerusi itu, baru-baru ini.
Petisyen dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid terhadap kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada PRU15.
Pada 8 September lalu, waran tangkap dikeluarkan terhadap Pengerusi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Akmal Zahin Zainal Zahir dan bekas Setiausaha Sulit Mas Ermieyati, Noor Hashimah Noordin.
Perintah waran tangkap terhadap Akmal Zahin dikeluarkan kerana gagal hadir sebagai saksi berhubung dakwaan dirinya memberi sogokan semasa kempen PRU15 bagi kerusi itu.
Akmal Zahin gagal hadir pada tarikh perbicaraan dan Hakim Datuk Abu Bakar Katar telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
Waran tangkap terhadap Noor Hashimah pula dikeluarkan kerana kegagalannya hadir ke mahkamah sebagai saksi sepina.
Sebelum ini, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 4,411 undi menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang). Perbicaraan akhir petisyen dijangka berlangsung 25 September ini. – UTUSAN











