SETIAP hujung minggu, perhatian saya tertumpu kepada akhbar harian yang terkandung beberapa rencana menarik, khususnya tentang ulasan politik semasa. Ulasan-ulasannya agak menarik, kritis dan mencuit minda oleh penulis-penulis tetap terpilih yang saya kira mempunyai pengikutnya tersendiri. Namun, dua tiga minggu lalu, perhatian saya lebih tertumpu kepada titah dua raja pemerintah.
Apa yang disuarakan oleh baginda-baginda itu semacam bertepatan dengan perkara sama yang berlegar dalam minda saya sejak sebulan lalu. Lebih nyata, sesudah selesainya pilihan raya di enam negeri, baru-baru ini.
Titah pertama oleh Sultan Johor, secara berlembut dan bersahaja membuat seruan secara umum tetapi nyata agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinetnya diberi peluang dan masa mencukupi untuk menguruskan ekonomi yang kini dalam keadaan agak kritikal akibat bahana menyerang dari luar serta krisis pengurusan dalaman yang beliau warisi.
Pun antara faktor penyumbang agak penting adalah keadaan politik negara yang tidak stabil. Pada hemat baginda, adalah tidak adil bagi rakyat jelata terutama segolongan pemimpin politik yang sudah ghairah membuat penilaian ingin melihat rekod kejayaan Perdana Menteri ini menguruskan ekonomi negara padahal kerajaan perpaduan yang dipimpinnya masih setahun jagung, sebenarnya masih baharu berusia sembilan bulan.
Secara tersirat, baginda juga ingin melihat beberapa projek mega berbilion ringgit di Johor yang sudah sekian lama tergendala dapat dipulih kembali dalam masa setahun dua ini. Oleh kerana ia melibatkan kedatangan pelabur-pelabur asing, syarat utama untuk mereka kembali membawa modal besar ke negara ini termasuk Johor adalah kestabilan politik.
Kira-kira selang seminggu kemudian, tersiar pula satu lagi titah, kali ini dari ibu kota. Dengan nada lembut serta bersahaja juga, Yang di-Pertuan Agong sendiri membuat seruan, “…memberi peluang kepada Anwar untuk merangka serta melaksanakan struktur ekonomi baharunya.” Bunyinya senada dengan apa yang telah dititah oleh Sultan Johor sebelumnya.
PILIHAN ALTERNATIF
Sayugia, apa yang tersurat dalam kedua-dua titah itu ialah untuk keadaan ekonomi negara diperbaiki. Dan keduanya, satu seruan atau permintaan agar Perdana Menteri bersama-sama barisan kepimpinan kerajaan perpaduan diketuainya diberi cukup masa dan peluang. Kenapa pula memerlukan seruan seperti demikian dan kepada siapakah seruan itu ditujukan?
Rakyat sendiri umumnya sangat menyedari dan terkesan bahawa sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, diikuti PRU15 November tahun lalu, kedudukan kerajaan dalam keadaan tidak stabil dan tidak menentu akibat berlakunya beberapa kali pertukaran pucuk pimpinan serta perubahan kepada gabungan parti-parti politik yang memerintah. Ini disebabkan keadaan tiadanya sebuah parti politik yang meraih kemenangan secara mutlak seperti masa-masa lalu di samping berlaku pula perpecahan dalaman yang membawa lahirnya parti-parti baharu dari parti induk yang asal sebagai parti-parti pilihan alternatif. Dan parti-parti baharu ini juga mampu memainkan peranan berkesan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu, berbeza daripada jajaran atau gabungan parti-parti politik lama.
Untuk selama hampir satu dekad, suasana kehidupan masyarakat umum agak terkesan oleh arus dan gelombang politik yang terumbang-ambing dan tidak menentu hala tujunya itu.
Ataupun suasana tidak menentu ini sengaja diada-adakan terutama oleh puak yang kalah dalam usaha meraih sokongan majoriti rakyat khususnya ahli-ahli Parlimen agar pucuk pimpinan sebagai Perdana Menteri boleh ditukar ganti. Dalam lain perkataan, beberapa pemimpin politik dominan terus-menerus merancakkan mainan politik mereka dalam usaha melemahkan kerajaan sedia ada.
Ini tiba di kemuncak pada PRU15 lalu tetapi disambung pula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baru berlalu. Seolah-olah mainan dan aktiviti politik ala perang saudara khususnya sesama orang Melayu terus menerus berpanjangan dan tiada nokhtahnya.
Jika difahami secara mendalam akan maksudnya yang tersirat, seruan tuanku itu mahukan sengketa politik yang sudah berlarutan ini dihentikan, dan keduanya, berilah peluang kepada kerajaan perpaduan yang diantik oleh Seri Paduka sembilan bulan lalu meneruskan kerja-kerja mereka menguruskan negara tanpa diganggu-gugat lagi.
Bilangan para pengundi yang merosot keluar mengundi pada dua pilihan raya kecil (PRK) di Johor, Sabtu lalu sebagai petanda rakyat sudah bosan dan muak dengan mainan politik pemimpin mereka. Semacam memberi isyarat, “Sudah-sudahlah berpolitik! Sama-samalah kita bersatu dan bekerjasama untuk membangunkan Malaysia tercinta ini kerana ia milik semua dan bukannya dimiliki oleh kerajaan memerintah sahaja.” – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).











