Undang-undang adalah untuk dipatuhi

Undang-undang adalah untuk dipatuhi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penganjur Himpunan RXZ Member 5.0 mungkin tidak meneruskan lagi penganjuran program itu pada tahun depan. Walaupun program itu berjaya menghimpunkan 60,000 peserta termasuk dari negara-negara jiran tetapi terpalit pula dengan insiden pesertanya melanggar undang-undang jalan raya.

Dalam soal ini, tidak wajar untuk menyalahkan pihak berkuasa walaupun dikatakan mengambil kesempatan ‘memukat’ di ketika perhimpunan itu diadakan. Kegagalan peserta mematuhi undang-undang jalan raya memang mengecewakan, apatah lagi perkara itu sudah diingatkan oleh pihak penganjur.

Mengikut laporan 126 motosikal disita daripada 60,000 peserta yang hadir atau 0.21 peratus sahaja. Tak banyak pun tetapi inilah yang dikatakan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Apa pun alasan yang diberikan, undang-undang wajib dipatuhi. Paling tidak boleh diterima ialah apabila mereka mengaitkannya dengan politik. Kononnya kerajaan mahu menghukum anak muda kerana tidak menyokong kerajaan. Malah, ada ustaz popular yang mendakwa kerajaan bertindak zalim.

Sampai bila kita mahu kaitkan semua perkara dengan politik. Ini adalah soal pematuhan undang-undang. Kalau kita patuh, tiada siapa akan kacau kita.

Sebenarnya mereka bukan tidak tahu tetapi seolah-olah sengaja mahu mencabar pihak berkuasa. Menyertai perhimpunan bukan alasan untuk menghalalkan pelanggaran undang-undang.

Kalau ekzos diubah suai secara ekstrem, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,  nombor casis diganggu, tentunya itu satu kesalahan. Ditularkan pula di media sosial. Itu mengundang padah namanya.

Kalau tahu motosikal kita tidak ikut peraturan, ikut cara Muhammad Fahmie Ahmad Tamyes dari Teluk Intan yang menggunakan trak pikap membawa motosikalnya ke Gong Badak. Dia bukan sahaja tidak kena saman, malah menang cabutan bertuah sebuah motosikal Ducati Panigale 1299 bernilai RM120,000.

Betulkan sikap anda wahai anak muda. Belajar patuh undang-undang pada setiap masa.  Sejak sekian lama, penunggang motosikal adalah pesalah terbesar bagi kesalahan jalan raya dan golongan itu juga yang paling ramai terlibat dalam kemalangan. Ini patut menjadi peringatan kepada mereka.

Statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menunjukkan sekurang-kurangnya 300 kemalangan dengan sembilan maut membabitkan motosikal berlaku setiap hari di seluruh negara sejak 2019.

Hujah jumlah motosikal paling banyak atas jalan sekaligus mendorong kepada peningkatan kemalangan tidak boleh digunakan.  Statistik tahun 2020 menunjukkan terdapat 14,891,585 motosikal berdaftar manakala kereta 15,240,536 buah.

Hujung minggu ini, satu lagi perhimpunan mahu diadakan. Atas nama Selamatkan Malaysia, perhimpunan itu dirancang diadakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Bukit Bintang. Setakat ini, tiada permit dikeluarkan oleh polis.

Kalau tiada permit, maksudnya langgar undang-undang. Polis sudah beri amaran. Jangan salahkan pihak berkuasa jika mereka bertindak nanti. Selain menambah kerja polis, perhimpunan di kawasan tumpuan ramai pada hujung minggu dan cuti umum itu tentunya menyusahkan rakyat dan merugikan peniaga. – UTUSAN

  • Ismail Daud ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia