KUALA TERENGGANU: Satu lagi beras jenama tempatan keluaran Terengganu iaitu Beras Gerai kini semakin mendapat tempat di pasaran negeri ini dan menjadi pilihan pengguna berikutan harganya yang murah dan berkualiti tinggi.
Beras tersebut adalah keluaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai yang beroperasi di Besut.
Pengurus Besar PPK Gerai, Amrul Azri Shamsuddin berkata, ketika ini pihaknya mengeluarkan Beras Gerai sebanyak 45 tan metrik setiap bulan untuk dipasarkan di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Selangor.
Menurutnya, kesemua 15 PPK di seluruh Terengganu dijadikan pusat pengedaran beras tersebut seterusnya dijual kepada orang ramai di lebih 30 pasar raya dan kedai runcit sekitar negeri itu.
“PPK Gerai juga bekerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor untuk mengedarkan Beras Gerai bagi menampung permintaan di negeri itu.
“PPK Gerai akan meningkatkan pengeluaran beras ini dua kali ganda kepada 90 metrik tan menjelang Disember tahun ini untuk terus memenuhi permintaan di pasaran Terengganu dan Selangor.
“Dalam tempoh 10 tahun lagi, PPK Gerai komited dapat memasarkan Beras Gerai untuk pasaran seluruh negara pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ketika ini, rakyat Malaysia dilanda kebimbangan berikutan bekalan beras tempatan semakin meruncing manakala harga beras import pula lebih mahal di pasaran.
Di Terengganu, satu lagi beras keluaran tempatan adalah Beras Ganu yang dikeluarkan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) untuk memenuhi permintaan di negeri ini.
Amrul Azri berkata, ketika ini, Beras Gerai dijual dengan harga RM13 bagi sekampit lima kilogram (kg) dan RM26 sekampit 10 kg iaitu mengikut harga kawalan beras yang ditetapkan kerajaan.
“Permintaan Beras Gerai dijangka meningkat di pasaran selepas kenaikan harga beras import sejak 1 September lalu,” ujarnya. – UTUSAN











