Jangan sampai e-sukan jadi lubuk rasuah - Utusan Malaysia

Jangan sampai e-sukan jadi lubuk rasuah

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, sukan elektronik kini dalam pemerhatian pihaknya berikutan industri itu terdedah kepada isu rasuah serta perjudian. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASUAH dalam bidang sukan bukan perkara baharu di negara kita kerana sebelum ini sudah banyak kes dan laporan didedahkan membabitkan beberapa jenis sukan termasuk bola sepak dan badminton mencakupi skandal mengatur perlawanan.

alaupun secara umumnya rasuah dalam sukan di negara kita kelihatan masih terkawal, namun jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara terutama dalam konteks pembangunan atlet dan sukan negara.

Justeru, proses dan langkah pencegahan perlu dilaksanakan secara serius dan berterusan agar ia tidak berkembang menjadi barah yang sukar dikawal kelak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hal ini dilihat perlu dan signifikan kerana baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan, sukan elektronik (e-sukan) kini dalam pemerhatian pihaknya berikutan industri itu terdedah kepada isu rasuah serta perjudian.

Menurut Azam, aktiviti rasuah dalam e-sukan dipercayai berlaku dalam bentuk transaksi digital seperti bitcoin dan mata wang kripto yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesannya.

Tambahan pula, dimaklumkan laporan Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) bertajuk Laporan Global mengenai Rasuah: Evolusi dalam Sukan Berkaitan dengan Rasuah pada 2021 menyatakan tiada perundangan atau kerangka dasar yang mengawal selia operasi pengendali menyebabkan e-sukan di seluruh dunia terdedah dengan rasuah.

Ini dengan jelas menunjukkan jenayah rasuah juga mula melalui proses evolusi secara mendadak sekali gus semakin menyukarkan langkah pencegahan, pembanterasan dan penguatkuasaan undang-undang.

Tuntasnya, rasuah berada di mana-mana dan boleh berlaku dalam pelbagai keadaan termasuk dalam sukan sama ada secara tradisional seperti mengatur perlawanan atau menembusi e-sukan secara transaksi dalam talian.

Ini mencetuskan cabaran besar kepada pihak berkuasa termasuk kementerian dan agensi terbabit untuk mengatur langkah pencegahan sewajarnya. Ironinya, bukan mudah untuk menghidu gerak-geri penjenayah sukan kerana mereka sangat licik dan mula beroperasi menggunakan kecanggihan teknologi terkini.

Pokok pangkalnya, para atlet juga perlu sedar penglibatan dalam rasuah akan menghancurkan masa depan mereka sepenuhnya. Jika ditangkap dan disabitkan kesalahan, mereka tidak mungkin dapat kembali beraksi kerana akan dikenakan hukuman cukup berat dan setimpal.

Misalnya pada 2018, dua pemain badminton profesional negara digantung daripada menyertai sebarang kejohanan masing-masing selama 20 dan 15 tahun oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati bersalah terlibat mengatur perlawanan.

Ingatan kita juga masih segar dengan penangkapan secara besar-besaran pemain dan pegawai pasukan liga bola sepak negara suatu ketika dahulu yang terlibat dalam kes mengatur perlawanan liga sehingga hampir melumpuhkan sukan bola sepak negara.

Hakikatnya, walau sehebat mana sekalipun prestasi dan pencapaian seseorang atlet, percayalah para peminat tidak akan menerima atlet yang sanggup menggadai maruah dan prinsip integriti diri kerana mengejar kemewahan.

PEPATAH CINA

Justeru, semua pihak terlibat seperti kementerian, persatuan sukan dan atlet perlu berganding bahu untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan pencegahan sewajarnya supaya dapat mengelak penularan gejala rasuah dalam bidang sukan demi menyelamatkan nama baik industri sukan negara.

Umpama pepatah Cina menyebut, ikan busuk bermula dari kepala. Para pemimpin persatuan sukan di negara ini perlu memikul tanggungjawab besar untuk mengekang penularan gejala tidak sihat ini dalam persatuan masing-masing.

Pemimpin persatuan sukan misalnya perlu tegas menolak rasuah dan sentiasa berpegang teguh kepada amalan tadbir urus serta tata kelola yang betul dan telus. Dalam konteks ini, persatuan sukan perlu menyediakan pelan pencegahan rasuah serta kerangka pengukuhan integriti dalam kalangan pegawai dan atlet masing-masing.

Jelasnya, tidak boleh ada sebarang tolak ansur dan kompromi dalam soal integriti baik dalam kalangan pegawai mahupun atlet. Sebagai permulaan, semua persatuan sukan wajib melaksanakan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi menzahirkan komitmen menolak rasuah.

Di samping memastikan tiada pegawai terlibat, menjadi tanggungjawab mereka juga untuk menyediakan pelan pencegahan rasuah dalam kalangan atlet melalui aktiviti dan program pencegahan serta pengukuhan integriti secara berterusan dan menyeluruh supaya dapat mengingatkan dan menyedarkan mereka tentang bahaya dan risiko penglibatan dalam gejala rasuah.

Para atlet sememangnya akan menjadi sasaran utama sindiket yang cuba mengambil kesempatan ke atas diri mereka sekali gus cuba mengaut keuntungan berlipat ganda.

Justeru, kelompok atlet perlu diterap semangat jati diri yang kental supaya mampu menolak rasuah, bijak mengenal pasti sindiket yang mendekati mereka serta membantu mencegah penularan rasuah dalam kalangan rakan sepasukan.

Untuk itu, program penerapan budaya sihat serta pengukuhan integriti wajar dijadikan aktiviti wajib ketika kem latihan yang boleh dilaksanakan secara berkesan dengan kerjasama agensi penguat kuasa seperti SPRM.

Sesungguhnya negara bukan sahaja memerlukan atlet dan pegawai yang memiliki semangat juang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam sukan masing-masing sekali gus mengharumkan nama negara, tetapi turut mengimpikan ahli sukan yang memiliki integriti dan jati diri kental.

Hakikatnya ketika ini, masyarakat sedang berhadapan masalah integriti dan rasuah yang cukup serius dalam pelbagai sektor perkhidmatan, justeru marilah kita bertekad menjauhkan rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor sukan.

Sukan sentiasa menjadi platform yang menyatupadukan rakyat majmuk selain turut menyumbang ke arah peningkatan nama baik dan imej negara di mata dunia melalui pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa.

Justeru, kita perlu melindungi industri sukan daripada rasuah dengan cara sentiasa berwaspada dan memberi perhatian serius kepada langkah pencegahan sebelum terlambat atau sebelum nasi menjadi bubur. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×