Komunikasi ‘lembab’ punca Melayu tolak kerajaan perpaduan? - Utusan Malaysia

Komunikasi ‘lembab’ punca Melayu tolak kerajaan perpaduan?

SEGALA usaha dilakukan oleh Anwar Ibrahim (tengah) sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelihatan masih belum diterima secara menyeluruh terutama dalam kalangan orang Melayu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos lalu memberi tamparan hebat kepada kerajaan perpaduan. Segala usaha dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelihatan masih belum mendapat penerimaan yang menyeluruh.

Mengikut tinjauan pendapat umum oleh Ilham Centre, kerajaan perpaduan memperoleh 42 peratus sokongan secara keseluruhannya pada PRN baru-baru ini.

Lebih 80 peratus pengundi Cina dan India menyokong Anwar manakala hanya 24 peratus pengundi Melayu menyokong kerajaan perpaduan. PN berjaya menarik sokongan mantap pengundi-pengundi Melayu di enam negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada umumnya, suasana politik negara kita masih sama sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Kebanyakan pengundi Melayu tetap menyokong PN manakala pengundi Cina dan India masih memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan (PH).

Tinjauan itu mendapati kuasa PH-Barisan Nasional (BN) terhad di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Malah, PH-BN kelihatan masih lemah dalam menerobos tampuk pemerintahan di negeri-negeri pentadbiran Pas, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Penyokong Anwar mungkin berasa kecewa kerana kerajaan ini tidak meraih sokongan masyarakat Melayu. Akan tetapi tidak dinafikan dalam banyak isu, terdapat percanggahan antara naratif politik asal dengan pelaksanaan sebenar kerajaan perpaduan.

Faktor ini menjadikan kerajaan perpaduan kelihatan lembab dalam membuat pembaharuan. Saya melihat untuk merebut sokongan Melayu Islam, prinsip-prinsip inklusif Malaysia Madani mungkin ditinggalkan oleh Anwar dan kerajaan perpaduan.

Sebaliknya, PH-BN akan lebih mencondong ke arah kepentingan bumiputera dan Islam. Sedangkan PN berlumba-lumba memainkan peranan sebagai pejuang terdepan kepentingan masyarakat Melayu Islam.

UMNO khuatir kehilangan sokongan asas. Maka, UMNO dan PN bersaing mengelilingi isu Melayu, bumiputera dan Islam. Keadaan ini secara tidak langsung memaksa PH terperangkap dalam persaingan sengit yang tidak berkesudahan.

Akibatnya, negara akan terus terjerumus dalam konflik perkauman dan keagamaan. Ini bukan sahaja melambatkan perkembangan ekonomi dan pembangunan negara, malah membuatkan pelabur asing tawar hati atau tarik balik untuk melabur di negara kita.

Contohnya, isu pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dalam silibus sekolah rendah mendapat bantahan kuat daripada Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyampaikan kebimbangan masyarakat bukan Melayu Islam terhadap pelaksanaan modul oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu.

Ulama, intelektual dan NGO yang mewakili masyarakat Melayu Islam pula membidas dengan mengatakan masyarakat bukan Melayu Islam tidak harus membuat tafsiran silap terhadap Hadis 40.

Tambahan pula, isi kandungan pelajaran itu tidak melibatkan murid bukan Muslim. Maka, masyarakat bukan Melayu tidak harus terlalu sensitif.

MCA, GERAKAN, DAP

Dalam pada itu, MCA dan Gerakan mengambil kesempatan menyindir DAP kerana tidak menyuarakan pendapat mewakili masyarakat Cina. DAP pula tidak mahu mengalah. Perbalahan antara mereka menyebabkan isu Hadis 40 bercampur aduk dengan pelbagai perselisihan faham dan dendam.

KPM telah pun membuat penjelasan bahawa pelaksanaan Hadis 40 hanya merangkumi murid Muslim. Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menerangkan, Hadis 40 bertujuan menyampaikan nilai-nilai murni sahaja.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pula cuba meredakan pertikaian itu dengan mengakui pencetusan isu disebabkan kekurangan komunikasi antara kerajaan dengan rakyat. Sementara itu, UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) amat menyokong kaedah KPM itu.

Sesungguhnya, masyarakat Melayu Islam menyambut baik langkah KPM dalam memartabatkan pendidikan Islam. Masyarakat bukan Melayu pula amat risau hak pendidikan dan kebebasan beragama akan beransur-ansur lesap.

Dalam pada itu, selepas PRN, ramai mengkritik barisan Exco PKR di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang tidak mewakili semua kaum. Tambahan pula, Kementerian Dalam Negeri didapati bertindak terlalu keras dalam menangani isu-isu sensitif (seperti merampas buku berunsur komunisme dan jam tangan Swatch).

Berikutan itu, imej Anwar yang menekankan kemajuan, kesederhanaan, kepelbagaian dan bertolak ansur semakin terhakis. Di pihak lain, masyarakat Melayu kelihatan menyokong tindakan kerajaan.

Sesungguhnya PH-BN kehilangan sokongan kaum Melayu dalam PRN yang lepas. Anwar terpaksa berikhtiar untuk memenangi hati pengundi Melayu dan meyakinkan mereka bahawa spektrum politik PH adalah lebih baik daripada PN.

Akan tetapi parti-parti mewakili bukan Melayu seperti DAP, MCA, MIC, Gerakan dan sesetengah pemimpin PKR terpaksa juga menyuarakan pandangan masing-masing terhadap isu-isu semasa yang sensitif agar mereka kekal relevan dalam arena politik. Perbalahan politik sebegini berisiko menyemarakkan sentimen politik kaum bukan Melayu Islam.

Saya berpendapat, Anwar boleh berbaik-baik dengan masyarakat Melayu bagi mendapatkan sokongan mereka. Tetapi, kerajaan tidak boleh mengabaikan komunikasi yang berkesan.

Sebelum melaksanakan sesuatu dasar negara, kerajaan perlu meninjau terlebih dahulu kesan politiknya dan mewujudkan satu mekanisme bersistematik bagi menangani dan meleraikan segala pertikaian situasi yang mungkin timbul.

Pada masa sama, PH harus bertekad melakukan pembaharuan secara ikhlas. BN-UMNO perlu berpegang teguh pada perjuangan politik yang asal untuk membela nasib semua kaum. UMNO tidak perlu tergesa-gesa melakukan sesuatu yang berlebih-lebihan semata-mata ingin merebut penyokong-penyokong tegar parti lawan.

Akhir sekali, baik parti pemerintah mahupun pembangkang tidak harus mencetuskan sebarang perbalahan tidak bermakna untuk menunjukkan kehadiran masing-masing. Ini kerana pergaduhan politik sebegini tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat.

Ia juga tidak mungkin mengumpulkan faedah politik berpanjangan. Parti-parti yang sengaja mencetuskan konflik tentu akan dihukum oleh rakyat pada akhirnya. – UTUSAN

PENULIS ialah lulusan ijazah sarjana politik dari Universiti Soochow, Taiwan dan kini penganalisis isu-isu politik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×