PELANCARAN Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 oleh kerajaan disambut baik oleh semua pihak. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan melabur sebanyak RM94.7 bilion dalam tujuh tahun akan datang untuk membangunkan lima industri utama, iaitu elektronik serta peralatan elektrik, aeroangkasa, kenderaan elektrik (EV), petrokimia, farmaseutikal dan ekonomi digital.
NIMP memberi penekanan kepada elemen berasaskan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Ekonomi Kitaran. EV dan teknologi Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) turut ditekankan sebagai usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Perdana Menteri menegaskan, NIMP 2030 bakal mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara industri berteknologi tinggi. Anwar berharap dengan pelaksanaan NIMP 2030, sektor pembuatan akan mencatatkan kadar pertumbuhan 6.5 peratus setiap tahun. Sehingga 2030, sektor ini dijangka menyumbang RM587.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
NIMP juga disasarkan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan untuk rakyat. Adalah diharapkan gaji median sektor pembuatan akan meningkat daripada RM1,976 menjadi RM4,510 pada 2030.
Prestasi ekonomi negara pada suku kedua 2023 hanya berkembang sebanyak 2.9 peratus. Oleh itu, kita perlu berwaspada agar ekonomi negara sentiasa mantap.
Belakangan ini, Malaysia sering tersekat dalam Perangkap Pendapatan Sederhana. Pendapatan per kapita rakyat Malaysia hanya berputar sekitar AS$11,000. Disebabkan peningkatan kos pengeluaran, produk keluaran negara semakin hilang daya saing di pasaran antarabangsa.
Negara kita juga tiada upaya beralih ke sektor yang dapat menghasilkan nilai tambahan lebih tinggi. Berikutannya, Malaysia masih gagal melepasi ambang negara membangun, iaitu pada paras pendapatan per kapita sebanyak AS$13,500.
Seperti dijelaskan oleh Perdana Menteri, kini Malaysia berpeluang menjadi salah sebuah negara industri berteknologi tinggi. Rangkaian bekalan global sedang mengalami pemindahan.
Disebabkan sengketa perdagangan dan konflik geopolitik kuasa-kuasa besar di dunia, firma-firma dari China terpaksa menempatkan semula kilang-kilang mereka ke Asia Tenggara.
Jika negara kurang peka terhadap perubahan iklim pelaburan global dan tidak segera merebut peluang yang wujud, maka kita akan ketinggalan di belakang Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina. Bagaimanapun, perlu diingatkan dalam melaksanakan NIMP 2030 secara berjaya, kita sesungguhnya berhadapan pelbagai cabaran dan rintangan.
Mengikut pengalaman lalu, pelan-pelan induk kerajaan sering kali diakhiri dengan pelaksanaan yang lembab dan tidak terpantau. Sasaran jarang-jarang tercapai seperti dirancang.
Perlu ditegaskan, antara industri difokuskan oleh NIMP 2030, iaitu elektronik tradisi dan pembuatan barangan elektrik sudah tepu pasarannya, persaingan dalam industri ibarat Laut Merah.
Ini bermakna margin keuntungannya amat kecil dan tidak sanggup membawa tambahan nilai ekonomi yang tinggi kepada negara.
KUCAR-KACIR
Tambahan pula, upah pekerja Malaysia agak mahal dan banyak bergantung kepada pekerja asing. Maka, pelabur asing mungkin kurang berminat untuk melabur dalam sektor tersebut di sini.
Bagi sektor aeroangkasa dan ekonomi digital pula, ia memerlukan banyak usaha integrasi vertikal. Sesebuah firma utama perlu mendapat sokongan firma-firma satelit lain bagi mencapai kejayaan menyeluruh. Sama ada kerajaan sanggup menarik sejumlah pelabur-pelabur dari bidang yang sama merupakan cabaran besar.
Pada pendapat saya, untuk memastikan kejayaan NIMP 2030, semua pihak baik kerajaan, kakitangan awam, usahawan mahupun rakyat umum perlu diberi pendedahan bahawa setiap orang memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi negara. Kita perlu sedar, sudah tiba masa mentransformasikan ekonomi negara berasaskan pertanian dan perkilangan yang menggunakan teknologi rendah kepada industri pembuatan berteknologi tinggi dan berbentuk perkhidmatan.
Negara kita sebenarnya kaya dengan pelbagai sumber ekonomi. Selagi kita rajin berusaha, semua orang berpeluang memperbaiki taraf sosioekonomi masing-masing dan mengecap taraf hidup yang lebih baik.
Daripada tinjauan, perancangan NIMP 2030 agak baik sekali. Akan tetapi negara kita sebenarnya kesuntukan waktu untuk merealisasikan impian NIMP itu.
Cuba kita lihat ekonomi Taiwan, perolehan daripada industri semikonduktor republik itu mencatatkan hasil AS$175 bilion pada 2022 dan merupakan pemain utama dalam industri teknologi maklumat (IT) di dunia. Taiwan mencapai kejayaan itu setelah 40 tahun gigih berusaha. Adakah negara kita berdaya melonjak ke tangga ekonomi maju dalam tempoh sependek tujuh tahun?
Anwar juga menjelaskan, sebanyak RM95 bilion akan diperuntukkan bagi pelaksanaan NIMP 2030. Dana itu akan diperoleh daripada ekuiti pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan langsung domestik (DDI) dan sumber swasta lain. Kerajaan hanya akan memperuntukkan 10 peratus dana sebagai dorongan untuk merangsangkan pelaburan dari dalam dan luar.
Dari sini, jelas sekali kerajaan tiada dana yang secukupnya untuk menggerakkan NIMP 2030. Oleh itu, peranan sektor swasta adalah mustahak.
Bagi bakat tenaga kerja yang diperlukan di bawah NIMP 2030, anak-anak tempatan berbilang kaum perlu sejiwa dan sehati. Melalui latihan akademik dan teknikal yang diterima dari institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara, pelapis muda kita perlu bekerjasama erat dalam sektor pekerjaan masing-masing untuk memajukan ekonomi negara.
Kestabilan politik merupakan faktor terpenting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara. Persaingan politik yang berketerlaluan menyebabkan negara kita kucar-kacir. Faktor ini mengakibatkan pelabur asing ragu-ragu untuk melabur di negara kita. Pelawat asing pula kurang berminat melawat Malaysia.
Kesimpulannya, kejayaan NIMP 2030 tidak semata-mata terletak di atas bahu kerajaan. Sokongan pelaburan langsung dari domestik dan antarabangsa amat diperlukan. Rakyat juga harus bersatu hati dan berganding bahu dalam menjayakan NIMP 2030. – UTUSAN
PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.











