Bung Moktar, Zizie lepas, bebas tuduhan rasuah RM2.8 juta - Utusan Malaysia

Bung Moktar, Zizie lepas, bebas tuduhan rasuah RM2.8 juta

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izette A. Samad meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam selepas mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta, lapan tahun lalu.

Keputusan diumumkan Mahkamah Ting­gi di sini semalam selepas mem­be­narkan permohonan sua­mi isteri itu menye­mak perintah Mahkamah Sesyen pada akhir kes pendakwaan.

Dengan keputusan itu, Hakim Datuk Azhar Abdul mengetepikan keputusan Mah­kamah Sesyen yang me­ngarahkan pasangan itu mem­bela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan meneri­ma rasuah dan bersubahat.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Azhar berpuas hati, kes itu sesuai bagi beliau mengguna pakai Seksyen 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah untuk me­nyemak permohonan tersebut.

Kata Hakim, mahkamah berpendapat tiada bukti yang menunjukkan dua saksi material pendakwaan, Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar memberi rasuah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan melalui Zizie Izette.

“Selepas meneliti rekod prosiding, mahkamah mendapati tiada bukti menunjukkan kedua-dua saksi pendakwaan ke-24 dan ke-25 itu memberi rasuah kepada Bung Moktar melalui isterinya.

“Keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan merupakan satu salah laksana keadilan,’’ kata Hakim Azhar ketika membacakan keputusan ringkasnya.

Kes itu sepatutnya disebut di hadapan Hakim Rozina Ayob pada 13 September ini bagi perkembangan prosiding bela diri pasangan itu. Dengan keputusan itu, Hakim Azhar melapangkan tarikh prosiding berikutnya.

Bung Moktar dan isteri berpelukan dan menangis sebaik sahaja Hakim Azahar selesai bersidang dalam mahkamah sesak dengan penyokongnya.

Terdahulu, peguam M. M. Athimulan mewakili Bung Moktar berhujah, tiada bukti menunjukkan anak guamnya menerima rasuah RM2.8 juta daripada dua ejen pelaburan unit amanah Public Mutual, melalui Zizie Izette.

Beliau berhujah, Madhi dan Norhaili ketika memberi kete­rangan sebagai saksi pendakwaan, tidak pernah menyatakan mereka memberi wang tersebut bagi pihak Bung Moktar.

MEMANGGIL

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pula berhujah, keputusan hakim Mahkamah Sesyen memanggil kedua-dua membela diri tidak perlu disemak kerana tidak berlaku salah laksana keadilan seperti yang didakwa kedua-duanya.

Chin How seterusnya berhujah, hakim bicara tidak membuat keputusan itu hanya berdasarkan keterangan dua saksi material tersebut (Madhi dan Norhaili) sebaliknya turut mengambil kira saksi-saksi pendakwaan lain.

Sementara itu, Bung Moktar selepas keputusan mahkamah berkata, pembebasan beliau tiada kaitan dengan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, sukar untuk beliau menolak tanggapan dan persepsi masyarakat berhubung pembebasan beliau itu dengan keputusan terhadap Presiden UMNO.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa pendakwaan terhadap beliau dan isteri, menjurus ke arah motif politik.

“Mahkamah mengadili kes ini sebaik mungkin. Perjuangan barisan peguam mewakili saya dan isteri lima tahun, mencapai keadilan.

“Saya bersyukur kerana mahkamah membebaskan kami. Terima kasih pasukan peguam serta semua yang mendoakan kami,” katanya yang kelihatan terkejut dengan keputusan itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×