ARAU: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu berjiwa besar dengan memberi peluang kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan memangku jawatan Presiden UMNO sehingga pemilihan parti diadakan bagi menentukan barisan kepemimpinan baharu.
Presiden UMNO itu perlu mengambil contoh Datuk Seri Najib Tun Razak yang melepaskan jawatan bagi memberikan tumpuan kepada kes-kes di mahkamah yang masih berjalan kerana tidak mahu situasi itu memberi kesan secara tidak langsung kepada organisasi UMNO.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, Mohamad dilihat pemimpin paling sesuai memimpin parti terbesar orang Melayu itu sekali gus memulihkan kembali kepercayaan rakyat.
Katanya, diakui Ahmad Zahid masih mempunyai pengaruh kuat selain berusaha keras mengukuhkan UMNO namun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu perlu terlebih dahulu membersihkan dirinya yang terpalit pelbagai kes di mahkamah.
“Mohamad mungkin boleh berperanan lebih tegas dalam menentukan hala tuju UMNO yang kini terumbang-ambing sekali gus menyebabkan akar umbi keliru.
“Pada masa ini, saya berpandangan adalah lebih baik Ahmad Zahid memberi laluan kepada Mohamad memangku jawatan Presiden sehingga pemilihan diadakan.
“Dalam pemilihan itu nanti, akar umbi boleh membuat pemilihan menentukan kepemimpinan baharu yang mampu kembali mengukuhkan UMNO,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Ahmad Zahid disifatkan sebagai keterlaluan apabila menjadikan kuasa sebagai matlamat parti yang akhirnya menjadikan UMNO hilang arah tuju.
Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman dilaporkan berkata, kesan tindakan itu akan dilihat sebagai tidak berpendirian dan mudah dipergunakan oleh parti-parti saingan politik sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas atau lain-lain.
Kata Ahmad Tajuddin, kegagalan Ahmad Zahid menguruskan parti termasuk mempunyai kes mahkamah menyebabkan UMNO mudah dibuli oleh parti lain apatah lagi mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti sendiri.
Mengulas lanjut Rusdi berkata, meskipun Ahmad Zahid mempunyai pengaruh khususnya dalam kalangan ketua-ketua bahagian namun atas kepentingan parti beliau perlu berjiwa besar melepaskan jawatan.
“Dalam masa sama, UMNO juga perlu melakukan perubahan dengan seimbangkan barisan pemimpin muda dan berpengalaman demi wajah baharu parti dalam menghadapi suasana politik semakin mencabar,” katanya.- UTUSAN










