PETALING JAYA: DAP menggesa supaya Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan terbuka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya, semalam.
Kontrak Idrus sebagai Peguam Negara tamat hari ini dan bakal diganti Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang pelantikannya bakal berkuat kuasa esok.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau mahu rakyat mengetahui faktor yang mendorong keputusan pelepasan Presiden UMNO itu.
Beliau berkata, pihaknya sedar permohonan dibuat pihak pendakwaan untuk menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.
“DAP bagaimanapun menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun, demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara harus menjelaskan secara terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.
“Penjelasan ini penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
“DAP juga akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam kes mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas 77 hari dibicara, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pasukan pembelaan supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.
Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Ahmad Zahid dikenakan DNAA bagi semua 47 pertuduhan.
Peguam Negara mempunyai kuasa di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memberhentikan pendakwaan walaupun sebelum keputusan diumumkan. – UTUSAN











