KUALA LUMPUR: Fahmi Fadzil berharap Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ponteng sidang parlimen jika mahu mendapatkan fakta tepat berhubung majoriti kerusi dimiliki Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Sebagai anggota jemaah Kabinet, Menteri Komunikasi dan Digital berkata, beliau mempersoalkan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bahawa jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai ia bakal menafikan majoriti dua pertiga kerajaan semasa.
“Saya sebagai anggota Jemaah Menteri, ini kali pertama saya mendengar perkara ini. Saya tak pasti dia dapat maklumat ini dari mana.
“Kalau seorang ahli Jemaah Menteri pun belum dapat maklumat mengenai perkara ini, bagi saya ia satu angan-angan daripada pihak beliau yang cuma mahu menakut-nakutkan orang.
“Sebab, kita sebut dalam konteks PRK Pulai. Bagi saya, Muhyiddin tak perlu sebut pun. Kalau mahu, nanti waktu di sidang parlimen, dia boleh datang tanya soalan kepada Perdana Menteri.
“Dan, dia juga boleh sediakan jawapan yang tuntas dan jelas, tidak mengelak di parlimen. Saya ingatkan Muhyiddin jangan ponteng Parlimen. Sila tanya soalan, jangan malas, nanti culas,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui di Program Kita Madani Aspirasi Malaysia 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini, hari ini.
Kelmarin, Muhyiddin membuat kenyataan bahawa kemenangan PN pada PRK Parlimen Pulai akan menafikan majoriti dua pertiga kerajaan.
Dengan kemenangan tersebut juga, kata Muhyiddin, kerajaan tidak dapat melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya daripada 222 kerusi parlimen ketika ini menjadi 300 kerusi.
Untuk info, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal bagi kerusi Pulai dan Simpang Jeram pada 5 September manakala pengundian pada 9 September.
PRK yang diadakan adalah susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.- UTUSAN










