PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM100 juta pada tahun ini untuk mempercepatkan Program Usahawan Tani (INTAN) di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menangani isu keselamatan dan keterjaminan makanan serta membantu mengawal harga di pasaran.
Program itu melalui kaedah pertanian moden bertujuan meningkatkan keberkesanan usaha pembasmian kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat dengan sasaran 1,200 peserta mengusahakan 600 ekar tanah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, untuk itu, model baharu pelaksanaan program itu diperkenalkan dengan penyertaan syarikat-syarikat swasta terpilih secara request for proposal (RFP) yang mempunyai kemahiran dan keupayaan untuk menjadi rakan strategik kerajaan dan orang awam bersama mengusahakan projek pengeluaran hasil pertanian di seluruh negara.
“Projek pertanian yang boleh diusahakan adalah tanaman atau ternakan yang memberikan hasil dalam tempoh kurang daripada dua tahun dan mempunyai potensi penggunaan teknologi.
“Sebanyak tujuh Pihak Berkuasa Koridor (PBK) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) diberi tanggungjawab mengeluarkan jemputan RFP, membuat pemilihan, melantik dan memantau projek-projek ini berdasarkan perjanjian antara kedua-dua belah pihak,” katanya di sini semalam.
Rafizi berkata, pelaksanaan projek itu boleh dilaksanakan sama ada di atas tanah kerajaan (Kerajaan Persekutuan/Kerajaan Negeri/ Badan Berkanun Persekutuan/Badan Berkanun Negeri) atau tanah milik persendirian.
Jelasnya, kerajaan akan membiayai sepenuhnya kos pelaksanaan projek termasuk kos operasi untuk pusingan pertama tanaman atau ternakan yang diusahakan sekiranya projek diusahakan di atas tanah milik kerajaan.
Bagi projek di tanah milik persendirian kata beliau, kerajaan akan membiayai melalui geran padanan secara imbuhan balik pada kadar 50:50 (kerajaan:syarikat) berdasarkan jenis perbelanjaan yang layak.
“Had pembiayaan adalah RM5 juta bagi setiap permohonan (anggaran luas kawasan 40 ekar) dan tidak melebihi RM25 juta bagi setiap syarikat.
“Tuntutan imbuhan semula dibuat selepas syarikat menyelesaikan keseluruhan projek. Antara skop pembiayaan termasuk infrastruktur asas projek, infrastruktur projek pertanian dan kos operasi musim pertama,” katanya.
Katanya, tempoh kebenaran minimum penggunaan tanah bagi tanah milik kerajaan adalah lima tahun manakala 10 tahun bagi tanah milik persendirian dan mempunyai klausa pelanjutan untuk tempoh seterusnya.
Tanah tersebut juga perlu berada dalam keadaan sesuai atau sedia digunakan bagi mengelakkan sebahagian besar kos projek digunakan bagi memperbaiki tanah atau kawasan berkenaan.
Beliau memberitahu, setiap peserta akan menerima jaminan menerima pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. – UTUSAN











