KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan memerlukan jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tujuh tahun pelaksanaan pelan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini terutamanya daripada sektor swasta yang digerakkan daripada ekuti, modal dan pasaran kewangan swasta.
Katanya, untuk itu hampir 10 peratus (RM9.5 bilion) akan diperuntukan kerajaan dalam NIMP 2030 bagi merangsang pelaburan dan pembabitan industri.
Beliau berkata, NIMP 2030 dijangka meningkatkan nilai tambah dalam sektor pembuatan mencecah RM587.5 bilion menjelang 2030.
Jelasnya, jumlah itu dijangka berkembang sehingga 6.5 peratus daripada yang diperoleh negara hari ini.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 61 peratus yang diperoleh oleh intervensi NIMP 2030 untuk sektor berimpak tinggi elektrikal dan elektronik (E&E), kimia, EV, aeroangkasa, farmaseutikal dan bahan termaju, seperti mineral dan logam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan NIMP 2030 di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd. Aziz serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Anwar berkata, NIMP dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 3.3 juta tenaga kerja menjelang 2030 dengan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi seiring dengan kemajuan negara.
“Paling penting adalah NIMP mengunjurkan gaji median di sektor pembuatan dijangka meningkat sebanyak 9.6 peratus iaitu mencecah RM4,510 berbanding RM1,976, di bawah purata nasional walaupun sektor tersebut memainkan peranan besar dalam KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara,” katanya.
Katanya, NIMP 2030 merumuskan empat misi untuk memacu transformasi industri negara pada skala besar menjelang 2030 iaitu:
● Misi pertama: memajukan ekonomi dengan industri akan digalakkan berinovasi dan menghasilkan produk lebih canggih, sekali gus meningkatkan daya saing negara di pasaran global.
● Misi kedua: membina sebuah negara berdaya maju dalam teknologi, bagi memacu inovasi, meningkatkan produktiviti serta mencipta peluang baru untuk pertumbuhan ekonomi.
● Misi ketiga: mencapai pelepasan sifar bersih. Misi ini menekankan komitmen untuk menangani perubahan iklim dengan berusaha untuk masa depan sifar bersih.
● Misi keempat: menjaga keselamatan dan keterangkuman ekonomi. Ia bertujuan mewujudkan persekitaran yang membolehkan jaminan kepada keselamatan rantaian bekalan, menyokong perusahaan kecil sederhana (PKS) dan menggalakkan penyertaan saksama dalam aktiviti ekonomi di semua negeri.
“Melalui amalan mapan dan inisiatif hijau, kerajaan menyasarkan mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan dan mesra alam. Misi ini sejajar inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dilancarkan baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata, misi tersebut akan disokong oleh empat pemboleh utama dalam mengatasi cabaran sistematik dan institusi.
“Pemboleh utama ini termasuk menangani cabaran pembiayaan, memupuk pembangunan dan pemerolehan bakat, menambah baik sistem pelabur, dan meningkatkan mekanisme tadbir urus.
“Untuk mendorong pelaksanaan segera NIMP, beberapa pendekatan berasaskan misi (MBP) telah dikenal pasti.
“Pendekatan ini dijangka mempercepat pembangunan ekosistem inklusif yang menyepadukan SME (Perusahaan Kecil Sederhana) ke dalam rantaian nilai dan mengumpulkan keseluruhan industri,” katanya.
Beliau berkata, NIMP akan melihat lebih banyak projek MBP dalam masa terdekat kerana kerajaan menjangkakan industri akan menerima pendekatan baharu ini dan menyedari manfaat yang dibawanya terhadap ekonomi negara. – UTUSAN











