MELAKA: Banduan yang dibebaskan dari Penjara Sungai Udang di sini menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena Hari Kebangsaan Ke-66 semalam, mengharapkan peluang kedua dan berazam kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Seorang banduan yang mahu dikenali sebagai Shah, 40, dari Bukit Baru, Melaka berkata, dia sudah serik menjalani kehidupan di sebalik tirai besi selepas dibebaskan kelmarin.
Dia menzahirkan rasa syukur dibebaskan lebih awal dari tarikh sebenar pada 28 Disember ini dan berazam tidak mahu kembali ke penjara buat kali ketiga.
“Saya sudah serik. Saya tidak mahu ke penjara lagi cukup-cukuplah kesilapan yang saya lakukan dua kali di penjara.
“Saya sedih sebab ibu saya tidak putus asa menunggu saya keluar. Saya tidak mahu ulangi dua kesilapan sebelum ini.
“Terima kasih kepada pegawai penjara yang banyak membantu dan memberikan saya peluang dipilih dalam PBSL,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas dibebaskan menerusi program itu.
Shah dipenjarakan di Sungai Udang sejak 28 April lalu atas kesalahan khianat dan kali pertama dipenjarakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dia yang sudah berkahwin adalah anak sulung daripada tiga beradik dan berazam ingin menjadi insan lebih baik serta berjasa kepada masyarakat.
Sementara itu, ibu Shah yang hanya mahu dikenali sebagai Wee, 70, berharap anaknya itu berubah dan tidak melakukan kesilapan buat kali ketiga.
Katanya, sebagai ibu, dia tidak berganjak memberi sokongan kepada anaknya untuk berubah walaupun sudah dua kali dipenjarakan.
“Saya tidak akan putus asa untuk beri sokongan kepadanya sebab dia anak sulung saya. Dia sebenarnya pandai tetapi tersilap dan tersalah langkah kerana terlalu baran serta tidak sabar,” katanya. – UTUSAN











