BUTTERWORTH: Seorang penolong pegawai seni bina di Jabatan Konservasi Warisan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dipenjara sehari dan didenda RM20,000 selepas didapati bersalah menerima rasuah RM16,800 beberapa tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid selepas tertuduh, Zamira Juneed, 38, mengaku bersalah bagi lima pertuduhan alternatif yang dibacakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Zamira didakwa menerima rasuah bagi proses permohonan tukar guna kediaman kepada hotel dan proses pengubahsuaian bangunan daripada beberapa pemilik syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Bagan Luar, di sini antara 14 Januari 2015 hingga 22 September 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini dan Mohd. Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu dalam rayuannya, ibu kepada dua cahaya mata berusia 10 dan 12 tahun itu memohon maaf atas kesalahannya dan meminta mahkamah meringankan hukuman kerana hanya dia yang menanggung keluarga selain menjaga ibu dan bapa serta suaminya yang mempunyai masalah kesihatan.
Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Hakim Ahmad Azhari dalam penghakimannya berkata, tertuduh telah disabitkan kesalahan dan perlu menjalani hukuman penjara serta didenda atas kesalahan yang dilakukan. – UTUSAN










