PETALING JAYA: Erti kemerdekaan cukup bermakna buat pelakon, Maya Karin, 43, kerana mempunyai pengalaman membesar di Indonesia sehingga berusia 17 tahun.
Kata wanita berdarah kacukan Jerman, Cina dan India itu, masih segar dalam ingatan terlibat dalam acara Keangkatan Bendera Indonesia yang dilaksanakan pada setiap hari Jumaat di sekolah.
Walaupun pemilik nama lengkap Maya Karin Roelcke bukan murid tempatan, namun, dia tidak pernah rasa terpinggir kerana tetap dipilih untuk terlibat dalam acara penuh bersejarah itu bersama rakan-rakan lain.
“Ada satu hari saya terpilih untuk menaikkan bendera Indonesia dan pada masa sama, semua murid menyanyikan Lagu Kebangsaan.
“Menariknya, ia bukan dibuat semasa hari merdeka sahaja, tetapi dilaksanakan pada setiap Jumaat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Indonesia menyambut Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos 1945 pada setiap tahun.
Anak kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman itu turut berharap pemimpin negara sentiasa mengambil peduli terhadap khazanah alam dan menjaganya dengan baik.
“Saya baru balik dari Perancis. Walaupun negara itu cantik, tetapi sebenarnya mereka sangat miskin dengan flora dan fauna. Saya boleh katakan hanya ada tupai di sana.
“Sedangkan di Malaysia, kita ada bermacam-macam haiwan seperti gajah, harimau, hutan simpan serta khazanah lain.
“Saya harap pemimpin politik akan lebih menghargai dan mengambil tindakan melindungi khazanah alam sedia ada dan jangan sampai nanti kita hanya ada tupai sahaja,” katanya. – UTUSAN










