Elaun guru KAFA tidak boleh jadi modal politik lagi

Elaun guru KAFA tidak boleh jadi modal politik lagi

Guru KAFA mengharapkan imbuhan lebih baik atau menikmati faedah sama seperti guru biasa sekolah kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Guru-guru bagi Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) terpaksa melakukan pelbagai kerja lain kerana elaun yang diterima tidak mencukupi untuk menanggung kos kehidupan terutama di kawasan bandar.

Sebahagian mereka juga terpaksa bekerja sebagai guru sekolah swasta, menjalankan perniagaan kecil-kecilan, mengajar al-Quran secara persendirian dan terlibat dalam industri ekonomi gig.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, elaun yang rendah dan tekanan ekonomi menyebabkan guru KAFA terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan.

Kata beliau, sudah tiba masanya kajian secara teliti dan menyeluruh dilakukan terhadap guru KAFA terutama berkaitan gaji dan bukan lagi menjadi ‘modal’ politik untuk meraih undi.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengangkat martabat guru KAFA dan meletakkan setaraf penjawat awam dan menerima gaji. Ia perlukan tekad politik daripada pihak kerajaan untuk menambah baik, menaik taraf dan membela nasib guru-guru tersebut.

“Perlu ada kajian yang menyeluruh kerana guru-guru KAFA di setiap negeri berbeza dari segi waktu pembelajaran, jumlah hari dalam seminggu, kurikulum dan sebagainya.

“Pada tahun 2021, guru-guru KAFA dalam negara ini terdapat sekitar 35,000, elaun diterima mereka pula berbeza kerana mengikut negeri. Ada yang menerima RM1,200 tetapi ada juga masih hanya memperoleh RM900. Jadi ini perlu diubah dan diselaraskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan akan melakukan kajian dan pertimbangan tentang pemberian elaun kepada guru KAFA kepada bentuk gaji tetap dalam Belanjawan 2024 yang dijadualkan pada 13 Oktober 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia antara perkara yang perlu diperhalusi bagi memastikan kebajikan guru-guru KAFA di negara ini terbela.

Mohd. Azizee berkata, membela nasib guru-guru KAFA dengan memberi gaji dan diiktiraf sebagai penjawat awam akan menaikkan semangat kumpulan pengajar tersebut lalu memberi kesan positif kepada pelajar.

“Apa yang penting pendidikan Islam perlu diperkasakan dengan memperkasa guru KAFA, pemberian perjawatan tetap secara berfasa ikut syarat yang ditetapkan,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan juga perlu menyemak kelayakan untuk seseorang menjadi guru KAFA dengan menetapkan beberapa perkara.

“Saya berpendapat mula dengan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau diploma sebab mereka mengajar pelajar-pelajar sekolah rendah. Kalau letak ijazah sebagai syarat kelayakan pula tidak setimpal dengan gaji, jumlah hari dan masa bekerja,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB), Muhd. Fadhli Jusoh berkata, kerajaan tidak boleh lagi kedekut dan seharusnya berbelanja untuk pendidikan Islam negara.

“Perkara 3 di dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama persekutuan jadi amat wajar kerajaan menggunakan peruntukan negara untuk memastikan pendidikan agama Islam berlangsung dengan berkesan.

“Perkara 12/2, wang negara adalah untuk agama Islam. Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya rasa ‘segan silu’ untuk memastikan peruntukan tersebut digunakan untuk agama Islam kerana sudah tiba masanya kerajaan menggunakan aspirasi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Muhd. Fadhli berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi seperti kerajaan terdahulu yang menggunakan isu berkaitan elaun guru KAFA sebagai modal dan retorik politik.

Tambahnya, wakil rakyat tidak mengira Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempunyai pelbagai elaun untuk memperkasa politik negara, jadi guru-guru KAFA turut boleh diberi layanan sama.

“Kalau ahli politik kita boleh perkukuhkan supaya dia boleh menjaga pemantapan politik negara, kenapa tidak bagi guru-guru tersebut? Kerana sebelum negara merdeka, agama sudah memainkan peranan besar untuk membantu rakyat celik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×