Pendidikan negara masih belum luar biasa

Pendidikan negara masih belum luar biasa

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem pendidikan Malaysia pada masa kini dilihat masih jauh ketinggalan dan tidak sejajar dengan apa yang dirancang dalam Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

PPPM 2013-2025 dilaksanakan mengikut sistem gelombang yang dinamakan Gelombang Pertama 2013 hingga 2015, Gelombang Kedua 2016 hingga 2020 dan Gelombang Ketiga 2021 hingga 2025.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Dr. Anuar Ahmad berkata, tidak dinafikan ada pencapaian dan usaha yang baik, namun ia tidak sehingga ke tahap luar biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun katanya, pencapaian dan tahap sistem pendidikan negara secara keseluruhan ketika ini masih berada di dalam Gelombang Kedua dan bukannya pada Gelombang Ketiga walaupun pelan tersebut berbaki dua tahun lagi.

“Banyak perkara di dalam Gelombang Kedua pun kita belum mencapai sepenuhnya lagi. Misalnya dalam PPPM 2013-2025, kita menyasarkan isu sekolah daif selesai pada 2016, tetapi sehingga hari ini sekolah daif masih menjadi isu yang kritikal dalam sistem pendidikan kita sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan bajet hampir RM1 bilion.

“Jadi pada saya, ada perkara-perkara yang belum tercapai dan sebenarnya pencapaian atau kedudukan kita sekarang ini berada di Gelombang Kedua. Walaupun kita sekarang berada pada 2023, tetapi pencapaian kita sekarang ini masih sebelum 2020,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pencapaian PPPM 2013-2025 yang disifatkan sebagai luar biasa pada masa kini.

Sebelum ini media melaporkan, PPPM 2013-2025 yang dilancarkan pada 2013 telah menunjukkan pencapaian dalam mentransformasi sistem pendidikan negara sepanjang dekad yang lalu.

Ia berdasarkan kepada Laporan Tahunan 2022 PPPM bertema Sedekad Transformasi: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mempamerkan pencapaian luar biasa biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Laporan Tahunan 2022 PPPM itu yang dilancar oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor merupakan laporan ke-10 sejak ia dilancarkan dan menandakan pencapaian penting dalam sistem pendidikan negara.

Anuar berkata, semua pihak memahami ketidakcapaian itu, namun ia bukanlah menunjukkan kelemahan Kementerian Pendidikan kerana negara berhadapan dengan tiga isu besar sepanjang 2018 hingga 2022.

Katanya, tiga faktor itu menyebabkan beberapa perancangan di dalam PPPM 2013-2015 itu tidak dapat dilaksanakan sewajarnya.

“Pertamanya adalah ketidakstabilan politik sehingga teras kepimpinan kementerian iaitu menteri pendidikan bertukar beberapa kali. Jadi ia menyebabkan perancangan pendidikan tergendala kerana banyak kelulusan itu di bawah bidang kuasa menteri. Apabila menteri bertukar, banyak perkara tertangguh dan menteri yang baru terpaksa kaji semula dan belajar perkara baru.

“Keduanya, ekonomi yang tidak begitu rancak menyebabkan peruntukan kita tidak begitu berkembang dengan baik. Dana kita yang ada tidak dapat digunakan misalnya untuk menyelesaikan isu sekolah daif secara total.

“Ketiganya adalah pandemik yang telah menyebabkan sekolah kita ditutup lebih daripada 250 hari. Semua ini memberi kesan kepada keciciran murid, minat teruskan pembelajaran dan tahap literasi 3M (membaca, mengira dan menulis) yang menurun,” katanya.

Tambah beliau, negara turut berkemungkinan sukar untuk meningkatkan kedudukan sistem pendidikan di dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) menjelang 2025 depan.

Katanya, statistik terkini yang dikeluarkan PISA pada 2021 menyaksikan negara berada di tangga 48, maka ia merupakan satu cabaran yang sangat besar untuk mencapai kedudukan satu per tiga teratas dalam tempoh dua tahun lagi, selain perlu bersaing dengan kebanyakan negara yang memang hebat sistem pendidikannya.

“Saya kurang yakin bahawa kita mampu melakukannya dalam tempoh dua tahun, tetapi kalau beri masa sehingga 2030, maka mungkin kita masih ada ruang dan waktu untuk mempertingkatkan kedudukan kita dalam PISA dan TIMSS.

“Sebab kta tidak ada sebarang perancangan untuk menggerakkan sistem pendidikan kita untuk berada di tangga lebih baik. Menteri, Fadhlina Sidek juga memaklumkan kita hanya menunggu sehingga PPPM 2013-2025 tamat, jadi kalau tidak ada perancangan, mana mungkin kita meningkat,” katanya.

Justeru, Kementerian Pendidikan disarankan untuk merangka dan menyusun program lonjakan sekiranya mereka mahu mahu meningkatkan kedudukan dalam PISA dan TIMSS, sekurang-kurangnya di kedudukan 30 atau 40 teratas.

Selain itu katanya, kementerian juga perlu menyemak semula kurikulum dan silibus yang ada supaya dapat difokuskan kepada usaha meningkatkan keberkesanan pembelajaran murid dan tidak menyebabkan merek hilang fokus, motivasi dan tidak seronok belajar.

Ketiga, katanya, kerajaan juga perlu segera mengurangkan beban bukan pengajaran yang sedang dihadapi dihadapi oleh guru-guru di negara ini.

“Sebelum ini, kita telah pun kerap kali menegaskan kepada Kementerian Pendidikan supaya melihat semula kurikulum dan silibus agar murid kita dapat menguasai subjek penting terutamanya Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Sains dengan lebih baik.

“Kedua, kita selalu cadangkan supaya mengurangkan beban tugas guru khususnya beban tugas bukan pengajaran supaya guru boleh beri fokus kepada usaha-usaha meningkatkan keberkesanan pengajaran.

“Jadi kalau mereka hilang fokus, banyak beban dan tidak boleh beri terbaik, maka bagaimana mahu memastikan sistem pendidikan kita menjadi lebih berkualiti.

“Oleh itu, jika tiga cadangan itu dapat dilakukan terlebih dahulu, ia akan membina satu persekitaran lebih baik kepada guru, murid serta ada lonjakan yang menjadi hala tuju kepada pengurusan pendidikan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini