KUALA TERENGGANU: Kadar kebolehpasaran tinggi, elaun wang saku dan penginapan percuma disediakan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) seharusnya menjadi tarikan golongan belia menyambung pelajaran mereka ke institusi tersebut selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beberapa penuntut lepasan IKBN Kemasik mengakui bertuah kerana mendapat ilmu daripada tenaga pengajar yang berpengalaman, selain peluang menggunakan kemudahan peralatan terkini yang digunakan industri sepanjang mengikuti kursus di situ.
Muhammad Nasran Ahmad, 21, yang berasal dari Kelantan berkata, IKBN adalah antara institusi kemahiran terbaik di Malaysia kerana semua pelajarnya mendapat pendedahan industri pekerjaan sebenar melalui program Visiting Professional.
“Banyak sebenarnya aktiviti yang disediakan untuk pelajar, tidak terbatas kepada program kemahiran sahaja kerana kami turut didedahkan dengan program keusahawanan dan kemasyarakatan yang sangat penting untuk pembinaan sahsiah diri.
“Alhamdulillah, sepanjang berada di IKBN Kemasik, saya tidak perlu risau tentang isu penginapan seperti pelajar di institusi lain kerana ia disediakan percuma untuk semua pelajar.
“Makan dan minum juga disediakan percuma untuk pelajar selain elaun wang saku yang sangat membantu meringankan beban kewangan keluarga kami,” katanya semalam.
Muhammad Nasran adalah antara pelajar cemerlang IKBN Kemasik yang baru sahaja mengharumkan nama negara setelah memperoleh emas melalui bidang rekaan rambut dalam pertandingan Worldskills ASEAN Singapore 2023 pada Julai lalu.
Amirun Naufal Muaz, 21, yang berasal dari Selangor pula berkata, golongan belia perlu memanfaatkan peluang menyambung pelajaran ke IKBN kerana kelulusan semua kursus yang ditawarkan menerima pengiktirafan banyak pihak di dalam dan luar negara.
“Saya tahu tentang peluang mendapatkan latihan kemahiran di IKBN melalui kawan-kawan dan saudara-mara yang pernah mengikuti kursus di IKBN dan kebanyakan mereka telah mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan.
“Kelebihan IKBN adalah kualiti kursus yang ditawarkan sentiasa mengikut trend baharu keperluan industri dan lepasan IKBN memang menjadi buruan ramai majikan kerana percaya dengan kualiti yang ada pada mereka,” katanya.
Bagi Muhammad Afiq Zakaria, 26 dari Paka, pengalamannya mengikuti kursus penyediaan pastri menjadikannya seorang individu yang mampu berdikari dan kini bergelar usahawan dengan menjalankan perniagaan bersama keluarga tercinta.
“Rezeki saya dapat menyambung kursus kemahiran di IKBN Kemasik tanpa kos yang tinggi dan yang paling penting saya bebas hutang selepas tamat latihan,” katanya.
Utusan Malaysia pada 22 Ogos lalu melaporkan lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawarkan kemasukan ke Institusi Latihan Belia dan Sukan (ILKS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Lebih membimbangkan jumlah permohonan untuk melanjutkan pelajaran di institusi juga menurun dalam tempoh tiga tahun iaitu tahun 2019 seramai 16,989 memohon, menurun kepada 7,496 pada 2020 dan tahun 2021 seramai 9,833. – UTUSAN
.










