Teknologi rumah pintar semakin jadi tarikan

Teknologi rumah pintar semakin jadi tarikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEIRING dengan zaman yang semakin moden, kehadiran teknologi ‘rumah pintar’ membuatkan orang ramai tertarik untuk mempunyai rumah serba automatik yang menjanjikan kemudahan, keupayaan perhubungan dan menyerlahkan kecanggihan.

Teknologi rumah pintar me­rujuk kepada peralatan dan peranti dalam rumah yang boleh dikawal secara automatik dari jauh dan dari mana-mana sahaja. Ia menggunakan sambungan internet dalam peranti mudah alih atau sambungan internet jalur lebar di rumah itu sendiri.

Namun, seperti semua benda yang canggih dan menarik, ia pasti mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

Pengasas Mamyhome Sdn. Bhd., Amin Yussof berkata, antara kelebihan memiliki rumah pintar ialah kemudahan penga­wasan jarak jauh yang membolehkan penghuni mengawasi dan mengawal peranti rumah melalui aplikasi di tele­fon pintar sahaja.

“Selain itu, ia boleh membantu dari segi kecekapan tenaga. Sistem pintar membolehkan pengguna mengawal pencahayaan, suhu, dan peranti elektronik secara automatik, sekali gus membantu menjimatkan tenaga.

“Ia turut menawarkan keselamatan tambahan. Pengawasan kamera, sistem keselamatan pintar dan pengesan asap dapat menambahkan lapisan keselamatan tambahan kepada rumah anda.

“Ia sudah tentu memberi kemudahan dan keselesaan. Automasi dalam sistem pintar menyediakan keselesaan tambahan dengan mengawal peranti rumah tanpa perlu campur tangan manual,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bercakap mengenai keburukannya pula, Amin Yussof berkata, ia memakan kos awal yang tinggi kerana pemasangan dan pembelian peranti pintar awal memerlukan pelaburan yang tinggi.

Ia juga membuat pemilik rumah terlalu bergantung kepada teknologi. Kegagalan teknologi atau gangguan rangkaian boleh menyebabkan gangguan kepada fungsi rumah yang penting.

Selain itu, katanya, pengguna mungkin bimbang tentang pe­nyalahgunaan data peribadi melalui peranti pintar yang me­ngumpul maklumat.

Mempunyai rumah pintar juga memerlukan kemahiran teknikal. Pengguna perlu memahami cara untuk mengurus aplikasi serta tetapan sistem yang mungkin rumit.

Akhir sekali, kegagalan bekalan elektrik boleh menyebabkan sistem pintar kehilangan fungsi sepenuhnya.

BANJIR KILAT

Menurut Amin Yussof, tidak dinafikan, sistem rumah pintar boleh digunakan di Malaysia, tetapi terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan, terutamanya dalam situasi se­perti banjir kilat.

Beliau berkata, sistem rumah pintar perlu dibangunkan dengan mengambil kira iklim dan persekitaran Malaysia. Penggunaan peranti elektronik dan kabel perlu dijamin kalis air dan tahan lasak untuk menghadapi cabaran cuaca tropika yang berubah-ubah.

“Dalam kes banjir kilat, sistem rumah pintar perlu diletakkan pada ketinggian yang lebih tinggi atau dilindungi dengan pelin­dung air untuk mencegah kerosakan akibat air yang berlebihan.

“Ketika banjir kilat, sambungan elektrik utama mungkin terganggu. Oleh itu, rumah pintar yang sesuai harus dilengkapi dengan sumber kuasa alternatif seperti bateri berkeupayaan tinggi untuk mengekalkan operasi asas.

“Sistem rumah pintar yang mempunyai pemberitahuan ke­cemasan dan pengawasan ka­mera boleh membantu penghuni mengawasi keadaan rumah ketika jauh. Tetapi dalam banjir kilat, risiko kepada peranti elektronik perlu dipertimbangkan.

“Sistem rumah pintar perlu dapat mengesan keadaan lua­ran seperti cuaca buruk atau bencana. Pengecaman banjir kilat dan peringatan awal boleh membantu pengguna mengambil tindakan segera.

“Dalam konteks banjir kilat, sistem rumah pintar berguna untuk menghantar notifikasi kepada penghuni dan mematikan peranti elektronik yang terletak di kawasan yang berisiko terkena air.

“Namun, keterbatasan da­lam keupayaan mengawal banjir itu sendiri perlu diambil kira, dan kecekapan sistem ini bergantung kepada penyediaan kesesuaian yang baik dengan persekitaran yang sering menghadapi risiko banjir seperti di Malaysia,” jelasnya.

PARADOK

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad ­Ridhuan Bos Abdullah berkata, terdapat paradok mengatakan apabila rumah dilengkapi dengan kemudahan moden atau peranti berkaitan dengan kecekapan rumah, ia akan menyebabkan harga rumah itu lebih mahal berbanding rumah dengan kelengkapan asas.

Katanya, beberapa pemaju di Lembah Klang telah membina projek kediaman mereka de­ngan kemudahan rumah pintar.

“Pemaju berskala besar memiliki kelebihan untuk membina kediaman dengan teknologi rumah pintar kerana mereka memiliki keupayaan dari segi saiz modal dan teknologi pembinaan.

“Di Malaysia teknologi rumah pintar mungkin masih baharu bagi komuniti tertentu. Di negara maju, teknologi rumah pintar telah digunakan bagi mengimbangi kesan sampi­ngan atau dalam ekonomi yang dikenali sebagai eksternaliti

“Bagi negara yang cuba mengurangkan kesan penggunaan fosil, pihak kerajaan dan institusi menggalakkan penggunaan rumah pintar.

“Bagi negara yang sentiasa berhadapan dengan risiko seperti gempa bumi, institusi dan pihak kerajaan memberi galakkan penggunaan rumah pintar yang berkaitan dengan keselamatan dan kecekapan saluran maklumat dan evakuasi.

“Justeru, memang ada hujah yang mengatakan bahawa kedia­man yang dilengkapi dengan rumah pintar, kos pembinaan dan harga kediaman akan lebih tinggi berbanding dengan kediaman yang menyediakan kemudahan asas,” katanya.

Setakat ini, beberapa peralatan elektrik kediaman telah dilengkapi dengan teknologi rumah pintar seperti pendingin udara, kemudahan akses unit kediaman dan peralatan pintar yang lain.

Menyentuh tentang perubahan iklim yang memberi kesan kepada negara, Muhammad Ridhuan berkata, teknologi pintar perlu diberi pertimba­ngan yang wajar.

“Kesimpulannya, prospek teknologi rumah pintar masih pada peringkat awal dan ada peluang untuk berkembang secara produktif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×