PH jangka kuasai PRK kerusi Pulai, Simpang Jeram September ini

PH jangka kuasai PRK kerusi Pulai, Simpang Jeram September ini

KEMENANGAN dijangka memihak kepada Suhaizan Kaiat (kanan) dan Nazri Abdul Rahman (kiri) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDASARKAN keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac tahun lalu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September ini dijangka akan memihak kepada calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah), Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman.

Di Pulai, dalam PRU15, calon PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang memperoleh 64,900 undi, menang selesa dengan majoriti 33,174 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nur Jazlan Mohamed memperoleh 31,726 undi dan calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Gerakan, Loh Kah Yong (20,677 undi). Dalam PRN ini, setelah BN bergabung dengan PH, maka undi yang sepatutnya diperoleh oleh Suhaizan bertambah kepada 96,626 menghasilkan majoriti sebanyak 75,949 undi.

Di Simpang Jeram pun keadaannya hampir sama. Atas kertas, Nazri boleh menang mudah. Ini kerana dalam PRN Johor lalu, Salahuddin, yang memperoleh 8,749 undi, menang selesa dengan majoriti 2,399 undi mengalahkan calon BN, Datuk Lokman Md. Don, yang memperoleh 6,062 undi dan calon PN, Zarul Salleh memperoleh 6,350 undi. Dalam kali PRN ini, undi yang sepatutnya diperoleh Nazri bertambah kepada 14,811 menghasilkan majoriti sebanyak 8,461 undi.

Walaupun begitu, terdapat dua perkara yang perlu menjadi peringatan.

Pertama, PRN Johor dibuat dalam keadaan negara belum pulih sepenuhnya dari pandemik Covid-19, lantas menyebabkan peratusan yang keluar mengundi pada waktu itu terlalu rendah, iaitu 54.92 peratus sahaja. Jika lebih ramai pengundi yang keluar mengundi, seperti dijangkakan dalam PRK ini, maka keputusannya pasti berbeza.

Kedua, lebih penting lagi, seperti yang terhasil dalam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos lalu, perpindahan undi antara BN dan PH tidak terhasil sepenuhnya. Sebahagian undi BN tidak berpindah kepada PH, begitu juga di sebaliknya menyebabkan calon BN-PH tidak mendapat undi yang sepatutnya mereka peroleh. Ini kerana sesetengahnya sama ada mengundi PN atau calon lain selain PH-BN atau tidak keluar mengundi.

Walaupun jika pengundi yang mengundi BN dalam PRU15 tidak memberi undi mereka kepada Suhaizan dalam PRK ini, dengan jumlah undi asas PH yang selesa dalam PRU15, beliau masih mampu muncul sebagai pemenang. Diandaikan separuh daripada pengundi BN dalam PRU15, iaitu sekitar 15,863, mengundi calon PN sekali pun, jumlah undi yang akan calon PN peroleh, iaitu 36,540, masih belum mampu mengatasi undi asas PH dalam PRU15. Begitulah teguhnya kedudukan Suhaizan dalam PRK ini berdasarkan bacaan atas kertas.

Keadaan sedikit berbeza di Simpang Jeram. Jika separuh daripada pengundi BN dalam PRN Johor lalu, iaitu sekitar 3,031, mengundi PN, akan mampu mengatasi undi asas PH. Nazri bagaimanapun masih mampu muncul sebagai pemenang jika separuh lagi daripada pengundi BN ini mengundi beliau.

Memberikan keyakinan kepada PH-BN untuk memenangi kedua-dua PRK ini ialah komposisi pengundi bukan Melayu yang tinggi yang ada di situ. Di Pulai, pengundi Melayu hanya berjumlah 78,119 (46.88%) berbanding 70,099 (42.06%) pengundi Cina dan 18,390 (11.03%) pengundi India. Di Simpang Jeram pula, pengundi Melayu hanya berjumlah 21,280 (52.70%) berbanding 18,166 (44.99%) pengundi Cina dan 932 (2.31%) pengundi India.

Disebabkan PN menghadapi masalah besar untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu, maka calonnya hanya boleh menang jika sejumlah 90 peratus pengundi Melayu mengundi mereka, dan ini hampir mustahil untuk berlaku. Walaupun begitu, calon PH masih perlu berjaga-jaga bagi memastikan pengundi bukan Melayu tidak memboikot PRK ini atas isu-isu tertentu, seperti dakwaan layanan kurang adil kepada mereka oleh kerajaan. Kerana jika ini berlaku mereka akan menghadapi masalah.

Calon PN juga tidak kuat. Di Pulai, Zulkifli Jaafar, yang hanya dikenali namanya di peringkat tempatan atas kapasiti Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pulai dan usahawan mewakili parti itu. Di Simpang Jeram, mewakili Pas ialah calon kitar semula, Dr. Mohd Mazri Yahya, yang pernah kalah teruk bila hanya memperoleh 2,136 undi berbanding 14,640 undi Salahuddin di kerusi itu dalam PRU13 pada 9 Mei 2018.

Walaupun begitu, PN meletakkan matlamat besar untuk memastikan calon PH kalah di Pulai bagi menafikan majoriti dua pertiga Kerajaan Perpaduan di Parlimen ternafi. Matlamat lain membawa gelombang hijau di Johor melalui kemenangannya di Simpang Jeram.

SELESA
PRK Pulai dan Simpang Jeram tidak boleh dipandang rendah. Ia signifikan kepada Amanah yang mengalami kemalapan prestasi dalam PRN sebelum ini. Ia juga signifikan kepada UMNO bagi memastikan kubunya di Johor tidak tergugat. Ia juga signifikan kepada PH-BN untuk menghentikan kemaraan PN dan menamatkan cubaannya menukar kerajaan. Oleh itu, PH-BN tidak boleh merasa selesa.

Bagi memastikan kemenangan lebih besar, pengumuman perlu dibuat bahawa jika Suhaizan menang beliau akan dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Beliau memang pun layak untuk dipilih ke jawatan itu. Beliau berpengalaman sebagai Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup malah ada nama besar di peringkat nasional, selain pernah menjadi Ketua Pemuda Pas dan Speaker DUN Johor. Ataupun setidak-tidaknya jawatan Timbalan Menteri di mana-mana kementerian lain.

Begitu juga dengan Nazri yang boleh dijanjikan jawatan Exco Kerajaan Negeri Johor jika beliau menang.Sebagai bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar, Nazri pun tiada cacat celanya.-UTUSAN

DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×