PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) belum membuat keputusan menaikkan harga beras susulan khabar angin beberapa negara mungkin menghentikan atau mengurangkan eksport beras.
Pemangku menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, setakat ini belum ada keputusan untuk meningkatkan harga beras.
Menurut beliau, apabila negara terlalu bergantung bekalan sumber makanan luar maka, isu bekalan dan kenaikan harga barangan bergantung kepada dasar negara pengeluar serta geopolitik dunia seperti konflik Ukraine dan Russia yang turut mempengaruhi bekalan makanan di pasaran.
“Itu sebabnya, kita teliti secara dekat pada setiap masa isu-isu berkaitan dengan sumber bekalan luar dan mencari pendekatan terbaik untuk memastikan kestabilan harga di pasaran,” katanya ketika mengulas mengenai kemungkinan harga beras akan naik jika negara-negara pembekal beras menghentikan eksport mereka.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, India, Vietnam dan negara-negara pembekal beras memberi isyarat untuk menghentikan atau mengurangkan eksport beras.
Armizan berkata, pesawah perlu meningkat hasil padi apabila kerajaan telah menaikkan harganya daripada RM360 satu tan metrik kepada RM500 satu tan metrik
Selain itu, kata beliau, isu bekalan gula juga perlu diberi perhatian kerana ketika ini Malaysia mengimport gula mentah 100 peratus dari Brazil.
“Kerajaan sedang mengenal pasti beberapa lokasi di semenanjung bagi melakukan kajian bagi mengembalikan semula penanaman tebu.
“Saya juga menyarankan kerajaan negeri Sabah, sekiranya ada kawasan bersesuaian kenapa tidak, Sabah juga lihat keperluan menanam tebu dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Armizan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata, beliau percaya kerajaan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor lebih tahu tanaman yang bersesuaian untuk ditanam di negeri ini. – UTUSAN










