PASIR PUTEH: Seorang warganegara Bangladesh menzahirkan terima kasih kepada Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 pada 31 Ogos ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rishat Risha, 23, berkata, peluang mencari rezeki di Malaysia adalah satu anugerah yang tidak terhitung buat dirinya.
“Sudah tujuh tahun saya mencari rezeki di negara ini sejak berusia 17 tahun dan menyaksikan perkembangan positif sebegini. Hari Kebangsaan menjadi kebanggaan dan disambut dengan penuh semangat patriotik.
“Saya juga akan membantu mana-mana pihak yang meminta pertolongan untuk memasang bendera yang mereka panggil Jalur Gemilang sebagai sokongan kerana memperoleh rezeki di sebuah negara yang aman,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Sotong, di sini, semalam.
Sementara itu, Helaluddin Abdullah, 28, berkata, sejak usia remaja bekerja sebagai tukang rumah di Kuala Lumpur, Perak dan Kelantan banyak memberinya pengalaman berkait budaya orang Melayu serta rakyat Malaysia yang menjadi kenangan berharga.
“Merdeka adalah kebebasan daripada belenggu penjajah. Satu nilai dan anugerah yang mahal yang perlu dipertahankan.
“Penelitian saya mendapati prinsip bersatu-padu dan saling hormat-menghormati serta kecintaan yang tinggi terhadap negara yang diamalkan rakyat menyerlahkan Malaysia sebagai negara yang harmoni dan aman,” katanya.
Helaluddin yang bercadang kembali ke negara asalnya berkata, sepanjang 10 tahun dia telah mempelajari adab budaya dan bahasa Melayu yang penuh santun dan kaya dengan budi bahasa. – UTUSAN










