PETALING JAYA: Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan semua wakil rakyat berhenti bermain politik bukan sahaja perlu dijadikan panduan kepada pemimpin di negeri ini, tetapi juga kepada pemimpin politik negeri lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, titah baginda sangat tepat dan diperlukan untuk semua rakyat bukan sahaja di Selangor, tetapi di seluruh Malaysia.
Pada masa sama, beliau juga tidak menolak Sultan di beberapa negeri juga menitahkan perkara sama selepas enam pilihan raya negeri (PRN) berlangsung baru-baru ini.
“Jadi, selepas PRN, apa yang rakyat mahukan adalah kerajaan berfungsi dengan kompeten, maka sekarang bukan masa berbalah, tetapi bersama-sama.
“(Kita) harap ada satu semangat kebersamaan walaupun berbeza ideologi politik. Sekarang masa main peranan sama ada pembangkang atau kerajaan untuk bangunkan negeri atau negara.
“Sekarang apa diperlukan adalah kesepaduan politik sama ada negeri atau Persekutuan untuk melonjakkan ekonomi bagi menarik pelabur dan (membuka) peluang pekerjaan untuk negara kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.
ISTIADAT
Sultan Sharafuddin ketika menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah, ikrar janji dan pengurniaan surat cara pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Selangor Isnin lepas, bertitah, adalah menjadi impian baginda supaya Selangor kembali mencapai kegemilangan seperti sebelum ini.
“Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, Beta pun dah penat dengar. Bangunlah Ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.
“Usia Beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini, dan adalah menjadi harapan dan impian Beta, agar sebelum menutup mata dan dijemput Ilahi, Beta dapat melihat Selangor bangkit semula. maju ke hadapan dari segenap sudut.
“(Ini) yakni pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi yang mampan, perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa, di mana rakyatnya hidup dalam keadaan selesa kemakmuran yang berpanjangan,” titah Baginda.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, titah Sultan Selangor sangat bertepatan pada masa kini selepas negara selesai berhadapan dengan pilihan raya umum dan PRN.
Oleh itu, katanya, sekarang tiba masa untuk semua pihak buat kerja bagi menjaga kepentingan rakyat.
“Henti politicking keterlaluan dan tumpu perhatian fokus menjaga amanah yang telah diletak di bahu mereka.
“Kalau mereka tidak buat kerja-kerja servis rakyat, memantau masalah rakyat atau membantu meringankan beban rakyat dan sentiasa buat kerja politicking sahaja, akhirnya rakyat terabai.
“Pengalaman mempunyai kerajaan tidak stabil daripada 2018 sehingga 2023 tidak sepatutnya berulang dan perkara itu perlu jadi pengajaran untuk semua ahli politik,” katanya. – UTUSAN










