LUMUT: Daerah Manjung menyumbang kira-kira 60 peratus daripada trafik keseluruhan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ketika ini.
Ketua Operasi Lebuh Raya WCE, Syed Muhd. Naguib Syed Mohd. berkata, ia khususnya di jajaran Perak iaitu dari Hutan Melintang ke Beruas yang merentasi daerah Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah dan Manjung.
“Secara purata, dalam sebulan, sebanyak 865,000 kenderaan menggunakan WCE di jajaran Perak,” katanya pada program Jelajah Konvoi Kembara Merdeka Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) dekat sini, semalam.
Konvoi tersebut turut berhenti di Plaza Tol Changkat Chermin untuk mengedarkan Jalur Gemilang kepada pengguna kenderaan yang menggunakan laluan tersebut.
Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing; ADUN Pasir Panjang, Rosli Abd. Rahman dan Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah.
Menurut Syed Muhd. Naguib, aliran trafik di jajaran Perak dijangka meningkat apabila laluan Seksyen 11 iaitu dari Beruas ke Taiping Selatan, sejauh 35.5 kilometer (km) yang ketika ini sudah siap 90 peratus boleh digunakan pada akhir tahun ini.
Katanya, bilangan kenderaan juga bakal bertambah apabila jajaran Seksyen 1 dan 2 iaitu dari Banting ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (SAE) siap kelak. – UTUSAN











