PILIHAN sudah dibuat. Keputusan sudah tersurat. Tidak perlu dipersoal atas dorongan atau sentimen apa, tangan yang memangkah sehingga demikian undi terjumlah. Cuma apa yang diharap segalanya berjalan atas landasan naluri yang sihat jelas, jujur menentukan kedudukan. Bimbang, jika dendam marah bercampur benci bersalut prejudis mengiringi undian, matlamat sebenar tidak mungkin tercapai, wal hasil balik asal.
Apa pun, episod pemilihan selesai sudah. Terpaksa menunggu lima tahun lagi kalau pun ada sesuatu yang boleh diubah. Tumpuan kini menunggu, melihat sambil mengharap sejauh mana pulangan hasil diperoleh ekoran undian yang telah dibuat. Rakyat tentunya menganggap mereka telah membuat pilihan tepat. Malang jika pihak yang diberi mandat sengaja berlengah, kembali memutar alasan menutup kelemahan.
Benar, perancangan, pembangunan negeri tidak mampu dilaksanakan dalam tempoh sekelip mata atau dalam masa sebulan dua. Namun, terjemahkanlah minat dan kesungguhan membawa kesejahteraan kepada rakyat dalam suasana meyakinkan. Rakyat mahu kebajikan mereka terbela. Mereka tidak mahu timbul lagi kata-kata cemuhan, membidas mengutuk di sana sini. Jika jujur mahu menjalin kerjasama, apatah lagi mengharapkan bantuan orang, berhenti sahajalah memburuk dan memperlekeh orang!
Ramai yang menyeru agar cukup-cukuplah dengan percakaran politik. Kini masa untuk melaksanakan apa yang dijanji dan meneruskan agenda membangunkan negeri, menepati aspirasi rakyat. Tidak perlu mengambil masa panjang. Lagi pun bagi sesetengah parti, memikul amanah memerintah negeri sudah melalui tempoh berpuluh tahun. Mereka sepatutnya sudah memahami lebih mendalam permintaan dan keperluan sebenar rakyat.
Tidak kurang yang mula melahirkan perasaan kurang senang apabila ada pihak terus mengulangi hal-hal berkaitan agama suci Islam dengan politik kepartian. Kata mereka, tidak tercatat dalam mana-mana risalah agama yang menyatakan Islam itu milik parti-parti politik tertentu. Islam menganjurkan ukhuwah dan perpaduan, manakala orang yang mulia di sisi Allah bukan berpandukan suku puak tetapi adalah dalam kalangan mereka yang beriman dan bertakwa. (Surah al-Hujuraat:13)
Kata ustaz, dalam Islam, golongan dianggap munafik adalah mereka yang jika bercakap selalunya berbohong, berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah sering dikhianati. Juga ditambah lagi dengan unsur yang mendorong kepada sifat munafik ini, iaitu apabila berkelahi atau bersengketa suka berketerlaluan atau berlebih-lebihan dan berpanjangan. Banyak ha berkaitan sifat munafik ini terdapat dalam surah at-Taubah dalam kitab suci al-Quran.
KEKAMPUNGAN
Bukan semua negara di dunia melalui proses pilihan raya secara aman tanpa protes dan huru-hara. Malah ada yang sehingga melibatkan pertumpahan darah dan meninggalkan suasana tegang berpanjangan.
Bersyukurlah di Malaysia tidak berlaku demikian. Lalu, elok jika rasa bersyukur itu diterjemahkan melalui pendekatan bercorak beretika dan profesional, bukan secara ‘kekampungan.’ Ini baik dari segi tingkah laku dan cara bertutur kata dalam melaksanakan tadbir urus negeri.
Sementara itu, setiap yang menjadi kenyataan terselit punca dan pengajaran. Adakala perhitungan manusia itu sendiri tidak menepati apa yang dicari dan apa yang mampu diperoleh. Gagal dan kecundang adalah ujian. Mereka yang sabar dan tabah sedia mengambil kelemahan dan kemerosotan sebagai peringatan dan kesedaran sambil mencari jalan keluar lebih gagah dan berkesan. Jujur bermuhasabah dan menilai kelemahan diri boleh medorong kebangkitan semula dengan lebih kuat dan berkeyakinan.
Apa pun, sekali gagal bukan penamat bagi seluruh perjuangan. Perlu yakin, barang yang asli hanya perlukan penyelenggaraan, bukan wajar dicampak buang. Benar, hidup tidak selalu indah. Tetapi yang baik dan indah itu perlu dipelihara dan dikekalkan kerana bersamanya ada keistimewaan yang boleh memanfaatkan semua.
Kepada rakyat, jika ada mana-mana negeri yang masih gagal memenuhi janji, tidak perlu resah dan menyesali diri. Seperti sering disebut, politik negara bukan baharu untuk diukur dan dinilai. Rakyat tentu boleh membezakan di antara yang benar-benar berupaya membawa perubahan atau hanya mimpi dalam kehausan. Kadang-kadang tanpa disedari, rakyat hanya terpesona tanpa terlaksana.
Hidup juga sering terdedah pada sangkaan dan pilihan. Ada yang terpengaruh dengan kata-kata bersalut agama. Ada juga mudah tergoda dengan buaian lunak pemain-pemain yang sudah dibuang padang. Yang penting, berpijaklah pada pendirian bijak dan tepat. Kembali ke pangkal jalan tidak pernah terlewat.
Apakah rakyat mendapat apa yang diharap? Tunggulah sahajalah! Mungkin boleh diukur nanti sejauh mana keupayaan perjalanan tadbir urus negeri, dan sejauh mana berlakunya penyelerasan tempo pembangunan di antara negeri-negeri yang seiring dan yang tidak sebulu dengan kerajaan Pusat.
Masa merubah segala, namun masa tetap ada untuk mengembalikan kegemilangan seperti yang pernah dirasa. Tanpa terlalu kecewa dan berputus asa, sedia berubah. Itulah cagaran menebus keterlanjuran. – UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).











