UMNO di persimpangan: Mencari jalan pulang

Siri 2: UMNO di persimpangan: Mencari jalan pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIRI 2

Kubu UMNO selama ini adalah di kawasan majoriti Melayu. Tetapi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos lalu menunjukkan parti itu tewas teruk di kawasan majoriti Melayu.

Di tiga negeri Melayu (lingkaran Melayu) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, UMNO hanya menang satu kerusi. UMNO hanya menang di Galas, Gua Musang yang terdapat ramai pengundi Cina. Di Kedah dan Terengganu, kosong. UMNO di bawah Presiden sekarang telah mencipta sejarah, di mana pertama kali UMNO tidak memenangi sebarang kerusi di kedua-dua negeri tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa makna serta natijahnya? Kekalahan UMNO di kawasan majoriti Melayu menyebabkan UMNO sudah kehilangan ‘negeri kubu.’ Dahulunya, Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Pahang dan Johor adalah kubu UMNO. Sejak PRU12 (2008) hingga PRU15 (2022), UMNO kehilangan satu demi satu kubu negerinya.

Kini boleh dikatakan UMNO sudah tidak mempunyai negeri kubu yang sejati, biarpun pemimpinnya menjadi Menteri Besar (MB) di negeri tertentu. Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan menjadi milik Pas. Selangor dan Negeri Sembilan milik Pakatan Harapan (PH)-PKR. Perak biarpun MB dari UMNO, tetapi UMNO hanya memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa PRU15. Maka sudah pasti Perak bukan lagi negeri kubu UMNO.

MB Pahang datangnya dari UMNO tetapi UMNO hanya memenangi 17 daripada 42 kerusi, selainnya 17 dimenangi Perikatan Nasional (PN) manakala lapan dikuasai PH. Jadi, Perak dan Pahang bukan lagi negeri kubu UMNO.

Masih bolehkah Johor dianggap negeri kubu UMNO kerana MB datang dari UMNO? UMNO memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN semasa PRN pada 12 Mac 2022 sebelum PRU15. Selebihnya PH-Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menang di 13 DUN manakala PN memenangi tiga DUN. Bagaimanapun, semasa PRU15 UMNO hanya memenangi sembilan daripada 26 kerusi Parlimen. Selebihnya, PH memenangi 15 kerusi dan PN menang di dua kerusi Parlimen.

Begitu juga dengan kedudukan UMNO di Melaka, biarpun MB dari UMNO. Memang semasa PRN pada 20 November 2021, UMNO memenangi begitu cemerlang, iaitu 21 daripada 28 kerusi DUN. Selebihnya, PH menguasai lima dan PN dua DUN. Bagaimanapun, semasa PRU15 kesemua calon UMNO gagal menguasai sebarang kerusi Parlimen. PN dan PH masing-masing memenangi tiga kerusi Parlimen di Melaka yang mempunyai enam kerusi.

Mengapa masalah produk dan negeri kubu ditimbulkan? Produk dan negeri kubu adalah dua perkara tersangat penting kepada mana-mana parti. Bukan sahaja untuk mendapat, mengekal dan meluaskan daerah pengaruhtetapi dua perkara tersebut boleh menentukan hidup mati sesebuah parti.

Selain itu, parti perlu dipimpin oleh seorang pemimpin berintegriti, berpengaruh dan disegani oleh kawan serta lawan. Kepimpinan adalah penjual kepada produk. Sekiranya penjual sudah tidak digemari, maka tentu produk pun sukar menembusi cita rasa pengguna.

 

 

KEPIMPINAN UMNO perlu mengembalikan perhitungan serta hala tuju parti kepada pendukung serta ahli, bukan hanya menggunakan keputusan sendiri atas nama kehendak akar umbi. – UTUSAN/AFIQ RAZALI

 

MELAYU, RAJA, ISLAM
Begitulah dengan sebuah parti politik. Sesebuah parti yang mahu kekal relevan, mestilah produk dijajanya kepada rakyat, tegasnya pengundi diyakini mereka. Selama ini UMNO berjaya dengan produk Melayu-raja, manakala Pas dengan produk Islam.

Bila sesebuah parti kehilangan negeri kubu, maka lebih cepat parti tersebut menjadi lemah dan hilang pengaruh. Contoh jelas lagi nyata, nasib yang menimpa MCA, Gerakan dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Selepas MCA kehilangan Pulau Pinang kepada Gerakan pada PRU 1969, ia terus menjadi lemah dah mengecil. Begitu juga Gerakan apabila tewas kepada DAP pada PRU 2008, menguncup dan hilang pengaruhnya terhadap pengundi Cina. Berjasa pernah memerintah Kelantan bersama Barisan Nasional (BN), tetapi selepas (BN) mengambil alih daripada Berjasa, parti tersebut beransur-ansur hilang malah tidak dikenali.

UMNO-BN hanya tinggal 30 kerusi Parlimen selepas rakan komponennya dari Sabah dan Sarawak meninggalkan BN. Kononnya demi untuk menyelamatkan UMNO-BN, maka pucuk kepimpinan UMNO mengambil keputusan membentuk kerajaan bersama musuh tradisinya, iaitu PKR dan DAP. Keputusan dibuat bersandarkan andaian jika bersama Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), akan timbul masalah soal pembahagian kerusi menjelang pilihan raya. Bagi mengelak perebutan kerusi, maka pilihan terbaik adalah menyertai kerajaan dipimpin PH, kononnya, kerusi-kerusi diidamkan PKR, DAP tidak sama dengan diingini oleh UMNO. Mungkin sedikit bertindih dengan Parti Amanah Negara (Amanah).

Soalnya, benarkah terjadi begitu? UMNO hanya memperoleh 12 kerusi DUN di Selangor daripada 37 kerusi majoriti Melayu. Itupun satu kerusi di sedekahkan oleh DAP, iaitu Dusun Tua, tetap juga berebut dengan PKR dan Amanah.

Ramai percaya, sekiranya UMNO kekal dalam Muafakat Nasional, UMNO boleh mendapat lebih 12 kerusi. Atau setidak-tidaknya kekal 12 kerusi. Adakah nyanyian kepimpinan UMNO terhadap pendukung serta ahli bahawa bersama PH memudahkan parti memperoleh kerusi-kerusi majoriti Melayu?

Dalam konteks pembahagian kerusi di Selangor ini, jelas sekali UMNO seperti dibuli. UMNO hanyalah melukut di tepi gantang. UMNO tidak mampu menentukan kedudukannya melainkan menanti belas ikhsan daripada ‘abang besar’, iaitu DAP-PKR. Sekiranya UMNO benar-benar mendapat sokongan PKR, DAP, Amanah sepenuhnya, mengapa keputusan UMNO dalam PRN Selangor begitu teruk?

Bersandarkan kepada keputusan di Selangor di mana UMNO hanya menang dua kerusi, jadi apa untungnya UMNO dalam membentuk kerajaan bersama PH? Kalau UMNO tidak mendapat laba daripada pembentukan kerajaan perpaduan, jadi siapa yang meraih keuntungannya? Adakah PH yang mengutip labanya?

Apa yang berlaku di Selangor sepatutnya menjadi pengajaran kepada UMNO-BN. Itu suatu garis ukur begitu jelas lagi nyata kesilapan yang telah diambil oleh pucuk kepimpinan UMNO. Sudahlah kerusi majoriti Melayu terlepas lebih dua pertiga, kemudian yang diperoleh pula tewas di tangan PN. Seperti ramalan penganalisis politik di mana UMNO menghadapi kekalahan teruk itu benar-benar terjadi. Maka kepimpinan UMNO perlu mengembalikan perhitungan serta hala tuju parti kepada pendukung serta ahli. Bukanlah hanya menggunakan keputusan sendiri atas nama kehendak akar umbi.-UTUSAN

PENULIS ialah Pengerusi Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman dan penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×