SEPAK TAKRAW dunia mengenali Datuk Abdul Halim Kader, pemimpin sukan antarabangsa dari Singapura sejak 2009, iaitu semasa Sukan SEA di Laos.
Beliau anak Melayu menerajui persatuan sukan bertaraf dunia yang disegani. Beliau memegang jawatan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Dunia (ISTAF).
Bermula dari saat itu, saya cuba memahami corak pengurusan sepak takraw sehinggalah diberi peluang berkhidmat aktif dalam sukan ini sebagai juri antarabangsa (ITO) dalam dua kejohanan penting iaitu Sukan SEA 2023 di Kemboja dan Kejohanan Sepak Takraw Dunia 2023 di Thailand.
Secara tidak langsung, saya mempelajari cara pengurusan beliau menerusi dua kejohanan besar ini. Semakin hari, semakin banyak dapat dipelajari. Beberapa aspek penting integriti dipraktikkan dan dipegang teguh oleh beliau dalam pengurusan sukan ini terutama apabila berhadapan pelbagai kerenah wakil sukan dari seluruh dunia.
PENETAPAN SOP
Beliau sering menekankan aspek penetapan sistem operasi standard (SOP) betul dan pelaksanaan tepat serta cepat bagi mencapai standad yang tinggi. Sistem fail beliau cukup kemas, mudah dirujuk dan sistematik. Disiplin kerja ini sudah sebati dalam dirinya sejak muda.
Pada usia kini mencecah 72 tahun, amalan ini masih unggul dan mantap. Ketegasan dan ‘kegarangan’ sejak usia muda tidak pernah luntur. Di saat beliau serius dalam berbincang sesuatu, kami mesti menumpukan perhatian, fokus, bersedia menerima teguran dan kritikan sekiranya melakukan kesilapan. Walaupun begitu, beliau tidak pernah lokek memberi pujian dan penghargaan atas sesuatu tugasan dilaksanakan dengan baik serta berhemah.
Kepakaran beliau dalam pengurusan sukan sepak takraw tidak dapat disangkal. Melihat cara beliau menyelesaikan masalah terbukti memang sangat berpengalaman. Selama lebih 40 tahun berkecimpung dalam dunia sukan ini membuatkan beliau berani dan tegas menegur serta memberi amaran kepada pemimpin sukan dari pelbagai negara. Beliau mahu semua pemimpin sukan ini mengamalkan dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang dipelajari daripada bekas Perdana Menteri.
KEUNTUNGAN PERIBADI
Beliau sedar ramai pemimpin menggunakan sukan ini untuk mendapat keuntungan peribadi dengan cara tidak betul. Peringatan dan kata-kata nasihat ini sering diungkapkan oleh beliau agar tidak berlaku salah etika yang boleh merosakkan imej sukan sepak takraw. Lafaz ikrar integriti diamalkan secara konsisten sebagai satu kaedah pencegahan bagi mengatasi masalah integriti dengan berkesan.
Sekiranya berlaku kes kesalahan berkaitan integriti yang kritikal, tindakan punitif tegas diambil. Ketegasan tindakan ini menyebabkan ramai pemimpin sukan yang mahu mengambil kesempatan dipecat atau mengundur diri secara ‘paksa rela.’
ASTAF dan ISTAF menetapkan kod etika yang ketat bagi memastikan integriti dalam pengurusan sukan. Kod etika ini menggariskan prinsip-prinsip tingkah laku yang diharapkan daripada pegawai sukan, pemain dan semua pihak terlibat. Tiada lagi kelakuan atau perangai yang ‘tidak senonoh’ di gelanggang kejohanan.
Kerjasama antara negara ahli ASTAF bertambah erat dalam usaha memastikan integriti dalam pengurusan sukan. Mereka bekerjasama dalam pertukaran maklumat, latihan dan penguatkuasaan undang-undang untuk memerangi penipuan sukan dan penyalahgunaan dadah terutamanya. Kerjasama ini dilaksanakan dalam rangkuman peraturan dan undang-undang ditetapkan tanpa isu yang dianggap ‘leceh.’
ANTI-DOPING
Pelaksanaan sistem anti-doping untuk memastikan keadilan dan kebolehpercayaan dalam pertandingan sedang dikuatkuasakan secara menyeluruh. ASTAF berhasrat dan ingin memastikan semua pemain sepak takraw bebas dadah dan berintegriti tinggi.
Ujian dadah secara berkala dijalankan ke atas pemain untuk mengesan penyalahgunaan dadah. Impak pelaksanaan peraturan ini akan melonjak imej bersih sukan sepak takraw sehingga ke peringkat Sukan Olimpik.
Saya diberikan amanah menyediakan manual atau handbook setebal 100 muka surat sebagai rujukan dan garis panduan berkenaan isu ini kepada semua warga sepak takraw di seluruh dunia. Manual ini memberi keutamaan berkaitan garis panduan perjalanan sukan sepak takraw yang bersih daripada gejala najis dadah.
Kami semua yakin manual ini menjadi sinar baharu dan panduan dalam mencapai kecemerlangan, kejujuran dan saling menghormati terhadap usaha membawa sukan ini ke aras lebih tinggi.
VIDEO CHALLENGE
Pengenalan penggunaan video challenge memberikan kesan besar kepada integriti sukan ini. Ketelusan sistem ini memungkinkan pasukan atau pemain untuk mencabar keputusan hakim dengan menggunakan teknologi video untuk menilai semula kejadian atau keputusan semasa pertandingan berlangsung.
Penggunaan teknologi video ini membolehkan keputusan dibuat berdasarkan bukti jelas. Ia membantu mengurangkan kemungkinan penyelewengan atau manipulasi keputusan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Pengenalan video challenge adalah sumbangan besar Abdul Halim kepada pemerkasaan imej integriti sukan ini.
PENERAPAN BUDAYA INTEGRITI
Abdul Halim sedar bahawa penerapan integriti dalam sukan ini memerlukan kesinambungan pemantauan dan penambahbaikan secara berterusan kerana ia merupakan satu proses yang panjang. Ini merupakan janji dan komitmen penting beliau terhadap sukan sepak takraw dengan mewujudkan satu sistem yang lengkap bagi manfaat generasi akan datang.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










