Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah kehebatan kuih-muih tradisional.
Namun sekiranya juadah khazanah bangsa itu tidak dijaga dengan rapi, tidak mustahil ia lenyap di sebalik kepelbagaian menu moden.
Pengasas Klasik Vanila, Wan Saharizan Mohamed Rabu, 41, antara pengusaha sajian tradisional yang diwarisi daripada ibunya.
Beliau memilih menu kuih-muih tradisional untuk diketengahkan kerana minat dan sayang mendalam terhadap manisan tempatan.

“Jarang usahawan dan peniaga khusus dalam penjualan kuih-muih tradisional. Jadi saya tampilkan konsep tradisional kepada orang awam yang inginkan satu cita rasa asli dan klasik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ia menyediakan sajian Melayu tempatan seperti lompang, nona manis, cara berlauk, koci, talam, keria, pulut panggang, karipap dan sebagainya.
Roti jala, pulut kuning, kari ayam, rendang ayam dan daging turut disediakan sebagai pilihan kepada pelanggan setianya.
DIANGGAP RUMIT
Kebanyakan generasi muda katanya, menganggap pembuatan juadah lama, rumit kerana menggunakan kaedah lapuk dan mengambil masa lama.
“Jarang orang hendak belajar membuat kuih tradisional ini sebab mereka kata susah dan ia juadah ‘zaman lama’ serta tiada daya tarikan. Sebaliknya, mereka lebih cenderung mempelajari resipi kuih moden mengikut peredaran zaman walaupun juadah tradisional masih ada peminat tersendiri,” katanya meluah pandangan.
Ditanya mengenai tips menghasilkan kuih-muih tradisional enak, katanya, beliau tidak memiliki tips spesifik sebaliknya katanya ringkas: “Masaklah dengan penuh ikhlas dan penuh kasih sayang”.
Jelas beliau, juadah yang sedap apabila kita hasilkan sendiri di rumah, tetapi perlu pastikan semua bahan digunakan adalah segar, berkualiti dan menggunakan sukatan tepat dan betul.
Hampir dua dekad bergelumang dalam dunia makanan dan masakan Melayu, Wan Saharizan memulakan perniagaan kuih Melayu secara kecil-kecilan dengan berniaga di bazar Ramadan.
Usaha tangga kejayaan
Berhujan dan berpanas. Ada masa terpaksa menutup gerai jualan kerana hujan lebat, semua itu tidak pernah mematahkan semangat Wan Saharizan. Bagi dirinya setiap kejayaan tidak datang bergolek.
Sebaliknya kerja keras dan tidak mengenal erti putus asa elemen perlu ada dalam mendaki tangga kejayaan.
Kekuatan semangat kental itu, katanya, diasuh ibu bapanya sejak beliau masih kanak-kanak lagi.
Kata Wan Saharizan, sejak cilik dia sudah biasa membantu ibu dan bapa berniaga menyara keluarga.
“Darah berniaga sudah sebati dalam diri ini. Walaupun pernah ditertawakan rakan sebaya kerana meniaga tetapi beliau menyifatkan ia sebagai cabaran,” katanya.
Bagi dirinya, ungkapan usaha tangga kejayaan bukan didapati daripada bahan bacaan, sebaliknya ia tersemat dalam hati dan mindanya terutamanya ketika dia merasa putus asa apabila resipinya tidak menjadi, pada awal pembabitannya dalam perniagaan itu dari rumah.
Namun katanya, suami, anak-anak dan ahli keluarga banyak membantu dirinya memperbaiki masakannya.
“Setiap orang yang mencuba kuih saya pasti akan ketawa apabila mengimbau kembali detik mereka diarahkan oleh saya untuk mencatat segala komen dan cadangan yang terlintas dalam kotak fikiran mereka selepas mencuba masakan saya. Daripada situlah, saya mengembangkan perniagaan yang asalnya bermula dari dapur di rumah,” katanya.
Kaedah itu katanya, antara langkah terbaik dalam kalangan wanita yang baru berjinak-jinak dalam dunia masakan. Kos hanya tertumpu pada barangan dan alatan pembuatan kuih-muih dan bakeri bukannya menyewa premis.
Dalam pada itu, Wan Saharizan turut menasihati individu untuk memiliki semangat juang dan kental dalam bidang perniagaan.
“Mereka harus ada arah tuju dan bersungguh-sungguh mencapai sasaran dan misi yang diletakkan dalam perniagaan,” katanya.
Pantas sesuaikan diri dengan norma baharu
Akur dengan larangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), wanita kelahiran Pulau Pinang ini tidak kekok dengan norma baharu.
Ini kerana sebelum PKP lagi, beliau sudah mengembangkan perniagaan menjual kuih-muih dalam talian dan media sosial.
“Nasib kami baik apabila sejak dahulu sudah memulakan perniagaan secara dalam talian dan internet termasuk pengiklanan sejak awal lagi.
“Hasil pengiklanan dan cadangan rakan dan pelanggan tetap, kami mendapat sambutan yang amat memberangsangkan,” katanya.
Pada 2019, Klasik Vanila kemudiannya menjadi sebuah syarikat.
Ia menawarkan pelbagai perniagaan kuih-muih tradisional terutamanya, masakan ringan, pemanis mulut, kek hari jadi dan perkahwinan, perkhidmatan gubahan hantaran dan juga booth kuih-muih tradisional di pelbagai majlis perkahwinan dan keramaian.










