Cukuplah berpolitik, rakyat, beta sudah penat – Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Cukuplah berpolitik, rakyat, beta sudah penat – Sultan Selangor

Menteri Besar Selangor
SULTAN Sharafudin Idris Shah berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar kepada Amirudin SHari dekat Balairung Seri Istana Alam Shah di Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak supaya berhenti berpolitik sebaliknya bangkit menge­ratkan perpaduan rak­yat tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.

Sultan Selangor bertitah, baginda mahu melihat Sela­ngor bangkit dan maju dari semua aspek fizikal dan rohani di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.

“Cukup-cukup lah kita berpolitik, rakyat dah penat, Beta pun dah penat dengar. Bangunlah Ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.

“Jadikan negeri Selangor ini hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan ne­geri Selangor tidak berapa lama dahulu,” titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Angkat Sum­pah, Ikrar Aku Janji dan Pe­ngurniaan Surat Cara Pelantikan Exco kerajaan negeri di Istana Alam Shah, semalam.
Terdahulu baginda ber­kenan menerima menghadap Datuk Seri Amirudin Shari yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Sela­ngor dan 10 anggota Majlis Mesyua­rat Kerajaan Ne­geri (MMKN) dalam sesi ber­asingan pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Ikrar Aku Janji dan Pe­ngurniaan Surat Cara Pelantikan.

Baginda turut mengingatkan supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjauhi perbuatan rasuah serta salah guna kuasa.

INTERGRITI

“Walaupun perkara ini te­lah sering beta ingatkan pada setiap kali ucapan beta di mana-mana jua, namun beta merasakan perkara ini perlu diulangi bagi mengingatkan Ahli – Ahli Yang Berhormat tentang kepenti­ngan menjaga inte­griti,” nasihat baginda.

Sultan Selangor bertitah, baginda mahu melihat perpaduan rakyat kembali bersatu selain pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemakmuran yang berpanja­ngan.

“Usia beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini, dan adalah menjadi harapan dan impian beta, agar sebelum beta menutup mata dan dijemput Ilahi, beta dapat melihat Se­langor bangkit semula, rakyat berbilang bangsa, hidup dalam keadaan selesa serta kemakmuran berpanjangan,” titah Sultan Selangor.

Sementara itu, Amirudin yang dilantik semula Menteri Besar berkata, beliau akan terus mengutamakan kritikan dan pertanyaan rakyat berban­ding memberi perhatian kepada blok pembangkang yang semakin bertambah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Setiap masa tugas Exco dan Menteri Besar adalah berat, tak kisah mempunyai dua pertiga atau kurang, jadi permintaan bukan sahaja pembangkang tetapi rakyat juga agak tinggi, itu yang saya rasa semua Exco kena melaksanakan tugas de­ngan baik.

“Suara dalam dewan satu hal, tetapi suara rakyat juga kuat dan selalunya tidak me­ngira kedudukan akan menyam­paikan kritikan dan sebagainya dan kita kena menjawab dengan cepat dan tuntas atas setiap persoalan dibangkitkan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×